NICKO@Hla Wynn (duduk, empat dari kanan) bersama deligasi Tekun Nasional diketuai Imran (duduk, empat dari kiri). FOTO Fariz Iswadi Ismail
NICKO@Hla Wynn (duduk, empat dari kanan) bersama deligasi Tekun Nasional diketuai Imran (duduk, empat dari kiri). FOTO Fariz Iswadi Ismail
Che Wan Badrul Alias

YANGON: Tiga usahawan mikro Bumiputera Tekun Nasional berjaya meraih potensi jualan berjumlah lebih RM1.932 juta pada hari pertama misi keusahawanan di Persidangan Malaysia-Myanmar Connect 2019.

Prestasi itu susulan persetujuan Grand Wynn Group of Companies (GWC), gergasi pengilangan dan pengedaran produk makanan halal kedua terbesar Eropah dan Asia Barat untuk mengedarkan produk usahawan tempatan itu menerusi rangkaian antarabangsanya.

Pengerusi dan Pengarah Urusan GWC, Nicko@Hla Wynn berkata, kumpulan merancang membekalkan produk biskut dan coklat keluaran Malaysia itu kepada pelanggan sedia adanya termasuk syarikat penerbangan terkemuka global seperti Qatar Airways dan Saudi Airlines.

Katanya, produk usahawan tempatan itu menepati kualiti yang diperlukan kumpulan terutama status halal selain membantu GWC menambah jumlah portfolio produk halal yang dapat ditawarkan kepada pelanggan sedia adanya kini.

“Sebagai permulaan kami sangat berminat dengan produk biskut dan coklat daripada Ryverra Chocolate & Confectionary Sdn Bhd, Bronis Sdn Bhd dan Jeiwa Global Resources untuk pelanggan syarikat penerbangan.

“Mereka perlu menepati standard syarikat penerbangan dengan mengkaji semula kandungan produk, tiada kandungan kacang dan mempakejkan semula produk pada kuantiti atau pek yang lebih kecil untuk diedarkan kepada pengguna,” katanya di sini, semalam.

Beliau ditemui pada Majlis Rangkaian Perniagaan dan Makan Malam bersama GWC sempena Program Promosi Keusahawanan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan Tekun Nasional ke Yangon, Myanmar.

Turut hadir, Setiausaha Pertama Informasi dan Kebudayaan, Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Tajul Ariffin, Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Myanmar, Azahar Mohamed dan Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pembangunan Usahawan, Imran Abdullah.

Program Promosi Usahawan itu dianjurkan sempena Persidangan Malaysia-Myanmar Connect 2019 selama lima hari bermula semalam.

Di Myanmar, GWC kini adalah jenama pengeluar produk tenusu, makanan laut dan sejuk beku terkemuka negara itu dan terbabit membawa masuk produk jenama Saji dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 2011.

Sementara itu, Imran berkata, potensi perniagaan yang diraih, semalam membabitkan potensi tempahan produk Ryverra Chocolate & Confectionary sebanyak dua kontena, Bronis dengan 10 kontena dan Jeiwa Global pula mencecah 24 kontena.

Beliau yang juga ketua delegasi usahawan Tekun itu berkata, tempahan sebesar itu menunjukkan produk usahawan Tekun memiliki kekuatan untuk dipasarkan ke luar negara.

“Prestasi usahawan mikro tempatan ini sangat membanggakan dan apa yang berlaku dengan GWC adalah tidak terjangkau fikiran kita usahawan ini mampu pergi sejauh itu meyakinkan syarikat pembekal global untuk meneroka pasaran antarabangsa.

“Kebanyakan produk yang diambil semalam seperti biskut, tat dan coklat bukan hanya untuk pasaran Myanmar, tapi GWC mahu mengedarkannya kepada syarikat penerbangan yang akan membawa produk tempatan ini kepada pelanggan di seluruh dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 6:30 AM