ANTARA produk keluaran Ryverra.
ANTARA produk keluaran Ryverra.
MEMASTIKAN kerja pengeluaran berjalan lancar.
MEMASTIKAN kerja pengeluaran berjalan lancar.
TURUT memantau kerja pemprosesan coklat di kilang.
TURUT memantau kerja pemprosesan coklat di kilang.
MUZAIREE (kanan) dan Sharil bangga produk Ryverra kini menembusi pasaran antarabangsa.
MUZAIREE (kanan) dan Sharil bangga produk Ryverra kini menembusi pasaran antarabangsa.
Rodly Fadly


Kegagalan adalah guru terbaik. Kata-kata ini nampak klise tapi sangat bermakna kepada Muzairee Daud dan Sharil Omar.

Ini kerana kegagalan masa lalu bukan saja menambahkan keakraban mereka malah turut mendorong untuk sama-sama bangkit sehingga meletakkan Muzairee dan Sharil sebagai usahawan Bumiputera yang berjaya pada hari ini.

Jika 10 tahun lalu, mereka sama-sama meratapi kegagalan dalam percubaan pertama bergelar usahawan, hari ini anak muda berusia 34 tahun itu boleh berkongsi kebanggaan sebagai pemilik bersama syarikat Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn Bhd (Ryverra).

Ryverra ialah pengeluar coklat serta minuman berasaskan coklat yang mampu bersaing dengan jenama terkenal di pasaran tempatan malah berjaya menembusi pasaran Arab Saudi, China dan Singapura.

Mengimbas pembabitan mereka dalam perniagaan ini, Muzairee sebagai Pengarah Urusan Ryverra menganggap pengalamannya dan Sharil dalam mengusahakan ternakan kupang secara berkelompok pada 2006 mempunyai hikmah di sebaliknya.

“Saya, Sharil dan beberapa rakan menyertai program ternakan kupang itu apabila dijanjikan pulangan lumayan. Apatah lagi apabila ia diuar-uarkan sebagai program yang dibuat khusus untuk siswazah.

“Dengan bermodalkan RM50,000 tiap seorang melalui pinjaman bank yang diuruskan oleh penganjur, kami melabur dengan yakin. Ketika itu memang muncul pelbagai program untuk membantu siswazah menganggur.

“Pada awalnya, segala-galanya berjalan dengan baik tapi selepas beberapa bulan kami dapat menghidu berlaku ketidaktelusan serta penyelewengan dalam program terbabit. Oleh itu, saya dan Sharil mengambil keputusan menarik diri walaupun risikonya kami kerugian RM50,000 serta menanggung beban hutang bank.

“Bayangkan, sebagai remaja yang baru melang­kah keluar dari universiti, kami bukan saja dibebani hutang bank malah pada masa sama perlu membayar semula hutang pembiayaan pelajaran. Memang terasa keperitan ketika itu,” cerita Muzairee.

Bagaimanapun, kegagalan pertama itu tidak melemahkan semangat Muzairee dan Sharil. Kebetulan, kedua-duanya mempunyai minat dan cita-cita yang sama iaitu mahu menjadi ahli perniagaan meskipun mereka memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang syariah dan pengurusan.

Apatah lagi, menurut Muzairee, ketika masih bergelar penuntut di Universiti Malaya (UM), dia sudah menjalankan perniagaan secara sambilan seperti perkhidmatan kereta sewa dan menjual kad telefon prabayar.

Pada masa sama, dia tidak melepaskan peluang berniaga minuman ais kisar di ekspo. Oleh itu,

dia tidak sanggup membiarkan jalan dirintis dalam bidang perniagaan berkubur begitu saja hanya kerana satu kegagalan.

Sharil pula berkata, walaupun tertekan selepas gagal dalam program ternakan kupang itu, ia tidak sama sekali mematikan cita-citanya untuk bergelar usahawan. Cuma, pengalaman pahit yang dilalui bersama Muzairee itu menyebabkan dia begitu berhati-hati kerana bimbang pisang berbuah dua kali.

Penangan strawberi bersalut coklat

Apa yang Sharil pelajari daripada kegagalan itu adalah dalam mengejar impian untuk bergelar usahawan, dia tidak boleh terburu-buru atau terlalu tamak mengejar laba yang tinggi sehingga masuk ke dalam jerat manusia tidak bertanggungjawab.

Bagaikan satu hikmah tersembunyi, episod duka itu menjadikan Muzairee dan Sharil semakin akrab berbanding sebelumnya sehingga mereka akhirnya bersatu hati menjalankan perniagaan bersama.

“Sebenarnya, ketika sama-sama belajar di UM, saya dan Muzairee tidak rapat walaupun rakan sekuliah. Masing-masing lebih selesa membawa haluan sendiri.

“Tapi, selepas sama-sama tertipu dengan projek kupang itu, kami sering menghabiskan masa bersama, membincangkan hala tuju hidup kami. Ketika itulah Muzairee mencadang­kan agar kami bergabung menjalankan perniagaan.

“Saya bersetuju kerana yakin dengan kejujuran dan kesungguhan Muzairee. Malah, saya tertarik dengan idea dan wawasan yang dimilikinya,” ujar Sharil yang bertindak sebagai pengarah eksekutif.

Bermula dengan sebuah kios di pasar raya terkemuka di Ampang, Selangor, kedua-dua anak muda ini memulakan perniagaan buah-buahan berperisa coklat.

Fenomena strawberi bersalut coklat yang dicetuskan penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza ketika itu membantu melonjakkan perniagaan mereka. Dalam tempoh beberapa bulan, mereka mampu membuka lapan kios di sekitar Lembah Klang.

Namun, apabila cetusan fenomena itu semakin menurun, ia secara tidak langsung turut menjejaskan perniagaan Muzairee dan Sharil sehingga memaksa mereka memikirkan strategi seterusnya.

“Walaupun fenomena buah-buahan berperisa coklat sudah berakhir, saya dapati makanan lain berasaskan coklat masih mendapat tempat. Ini bermakna, bisnes coklat tidak akan mati.

“Oleh itu, pada 2008, selepas mengikuti kursus asas pemprosesan coklat anjuran Lembaga Koko Malaysia, kami beralih ke bidang pengeluaran coklat secara kecil-kecilan.

“Pada awalnya, kami menyewa sebuah rumah pangsa tiga bilik yang dijadikan tempat memproses pengeluaran coklat, pejabat dan stor. Ketika itu, kamilah tauke dan kami juga pekerja apabila semua kerja daripada pemprosesan hingga kepada pemasaran dilakukan sendiri.

“Kami menjual coklat di kios yang kami miliki sebelum ini. Di samping itu kami menyediakan perkhidmatan tempahan cenderahati berasaskan cok­lat untuk pelbagai majlis seperti perkahwinan dan sambutan hari jadi.

“Alhamdulillah dari setahun ke setahun, perniagaan kami semakin berkembang. Dari flat, kami berpindah dan beroperasi di premis yang lebih selesa. Kini Ryverra mampu menghasilkan 15 tan coklat dan 20 tan serbuk minuman pracampuran dalam sebulan,” kata Muzairee.

Ryverra kini boleh berbangga sebagai salah sebuah syarikat pengeluaran coklat Bumiputera yang menghasilkan lebih 50 produk dengan pelbagai bentuk dan cita rasa. Selain itu, mereka turut membekalkan produk untuk syarikat lain yang menggunakan jenama masing-masing.

Selain menguasai pasaran tempatan melalui pasar raya terkemuka di seluruh Malaysia serta ejen yang dilantik, Ryverra kini sudah melangkah ke peringkat antarabangsa apabila mampu menembusi pasaran Arab Saudi, China dan Singapura.

“Untuk pasaran di Arab Saudi, kami menghasilkan minuman pracampuran coklat, mocha dan cappuccino. Sejak dipasarkan setahun lalu melalui rangkaian sebuah kafe di sana, produk minuman keluaran kami mendapat sambutan.

“Kami turut memasarkan produk Ryverra di Singapura dan China dengan bantuan Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) dan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan).

“Walaupun pasarannya belum menyeluruh, kepercayaan tiga negara itu terhadap produk Ryverra menjadi petanda baik untuk melonjak di pasaran global suatu hari kelak,” kata Muzairee.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 6:22 AM