DR Mohamad Zaini  (kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman dengan  Latt pada Persidangan Malaysia-Myanmar Connect 2019 di  Yangon.
DR Mohamad Zaini (kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman dengan Latt pada Persidangan Malaysia-Myanmar Connect 2019 di Yangon.
Che Wan Badrul Alias


MALAYSIA muncul sebagai pembekal minyak masak sawit premium pertama Myanmar susulan termeterainya memorandum persefahaman pembekalan minyak masak bergred tinggi (IV60) jenama LESONG ke negara itu.

Memorandum itu membabitkan pembekalan bernilai RM12 juta setahun antara pengeluar minyak masak Bumiputera, Helang Gagah Group Sdn Bhd dengan syarikat gergasi Myanmar, K K Myanmar Business Group.

Pengarah Urusan Helang Gagah Datuk Dr Mohamad Zaini Md Taha berkata, beliau pilih Myanmar sebagai destinasi eksport pertama kumpulan di luar Malaysia kerana permintaan minyak masak sawit yang tinggi di negara itu serta kurang persaingan.

Katanya, kedudukan pasaran Myanmar berhampiran Malaysia dan sistem pelabuhan mesra pengeksport memberikan kelebihan untuk beliau meneroka pasaran itu selain faktor iklimnya sewaktu cuaca sejuk memerlukan rakyat mendapatkan minyak masak gred tinggi.

“Myanmar perlukan banyak minyak sawit kerana budaya masakan mereka, setakat ini hanya ada dua jenama di pasaran ini, namun jenama LESONG ada kelebihan berbanding jenama besar itu kerana memiliki gred tinggi Iodine Value 60 (IV60).

“Ini bermaksud minyak sawit LESONG ditapis sebanyak enam kali dan masih kelihatan jernih selepas menggoreng 20 kali selain cuaca ketika musim sejuk Myanmar tak sesuai untuk bawa gred yang rendah ke sini,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Malaysia-Myanmar Connect 2019 di sini.

Beliau sebelum itu memeterai perjanjian persefahaman pembekalan bagi pihak Helang Gagah manakala K K Myanmar Business Group diwakili Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ko Ko Latt.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan besar Malaysia itu membuktikan keberhasilan program keusahawanan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) yang diterajui Tekun Nasional untuk membawa produk usahawan ke Myanmar.

Katanya, dengan pembekalan baharu itu, kumpulan menyasarkan untuk meraih peningkatan jualan sekitar 30 peratus sebulan.

“Ketika ini, jualan kami berlegar sekitar RM1.5 juta hingga RM1.6 juta sebulan iaitu sekitar 400 tan hingga 500 tan sebulan disumbangkan sepenuhnya daripada domestik.

“Dengan tambahan jualan daripada pasaran baharu Myanmar, kami jangkakan jualan keseluruhan kumpulan akan meningkat kepada RM2.5 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 7:38 AM