NAJIB bersama  Thein Sein di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.
NAJIB bersama Thein Sein di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Myanmar U Thein Sein semalam sepakat untuk memberi pengecualian visa bagi pemegang pasport daripada kalangan kakitangan awam dan ahli perniagaan yang diiktiraf dewan perniagaan di negara masing-masing.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ketika ditemui sejurus menyertai mesyuarat dua hala berkenaan di Perdana Putra.

Anifah berkata, perkara itu dicapai pada perbincangan empat mata antara kedua-dua pemimpin disusuli mesyuarat delegasi bagi membincangkan perkembangan kerjasama dua hala sedia ada antara kedua-dua negara.

Menurutnya, ketetapan yang dibuat itu membolehkan Malaysia dan Myanmar bekerjasama merumus cara terbaik bagi menggalakkan pelancongan antara kedua-dua negara.

“Selain itu, Presiden (Thein Sein) turut meminta Malaysia memperkenalkan khidmat penerbangan Kuala Lumpur-Yangon-Mandalay. Malah, Perdana Menteri bersetuju untuk merujuk permintaan itu kepada Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia.

“Namun, keputusan berhubungnya akan dibuat hasil budi bicara syarikat itu kerana ia adalah keputusan perniagaan,” katanya.

Kunjungan Thein Sen ke negara ini bermula kelmarin adalah lawatan pertamanya ke Malaysia sejak menjawat jawatan Presiden Myanmar pada 2011 di atas undangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Myanmar adalah rakan dagang ke-38 terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketujuh terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara sebanyak RM3.18 bilion tahun lalu.

Anifah berkata, mesyuarat dua hala Malaysia-Myanmar banyak berkisar mengenai usaha meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang selain meneroka sektor baharu membabitkan kepentingan bersama.

Katanya, antara perkara dibincangkan termasuk perdagangan pelaburan, sumber manusia, pendidikan, pelacongan dan pembangunan keupayaan teknikal selain isu serantau dan antarabangsa yang membabitkan kepentingan bersama.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menjemput Thein Sein menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan.

Dalam pada itu, Anifah berkata, isu pelarian etnik Rohingya turut dibincangkan terutama berkaitan pendirian Myanmar tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara berdasarkan Perlembagaan negara itu.

“Ada kriteria tertentu yang melayakkan seseorang sebagai warganegara Myanmar, malah mereka perlu mengkaji sama ada etnik Rohingya memenuhinya untuk layak menjadi warganegara.

“Kita menghormati undang-undang mereka, tetapi perkara ini harus dibincang kerana terdapat ramai pelarian Rohingya di Malaysia dan jika mereka ditakrifkan tidak layak diiiktiraf sebagai warga Myanmar, apa yang hendak kita buat dengan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:16 AM