ADISSADIKIN
ADISSADIKIN

PERSATUAN Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (Aibim) melangkah setapak lagi dalam melebarkan usaha membantu golongan sasar bagi tujuan kelestarian sosio ekonomi melalui pelancaran inisiatif myZakat.

myZakat adalah platform disediakan Aibim bertujuan membolehkan ahlinya menyumbang secara kolektif menggunakan dana Zakat Wakalah yang diberikan Majlis Agama Islam Negeri kepada bank ahli Aibim.

Ketika ini, tujuh bank ahli Aibim bersama dalam menjayakan inisiatif ini iaitu Affin Islamic Bank Berhad, AmBank Islamic Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Rakyat, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Hong Leong Islamic Bank Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad.

Pengagihan dana itu mengguna pakai panduan sedia ada yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri dalam membuat pemilihan dan agihan zakat kepada golongan sasar dan penerima layak.

Sebagai permulaan inisiatif myZakat, Aibim bekerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai NGO untuk mengenal pasti asnaf yang mengusahakan perniagaan kecil, namun tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

Pada masa sama, AIM berperanan membantu mengagihkan dana myZakat yang diperuntukkan, memantau dan memberi bimbingan kepada asnaf terpilih.

Melalui kerjasama Aibim dan AIM ini, disasarkan 50 peniaga kecil daripada golongan asnaf layak menerima dana myZakat sehingga RM3,000 seorang.

Inisiatif myZakat juga turut menyaksikan pembabitan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebagai rakan strategik yang berperanan menyediakan modul latihan sesuai seperti pengurusan kewangan dan pengurusan aliran tunai kepada asnaf terpilih.

Presiden Aibim yang juga Pengerusi Kumpulan Fokus myZakat, Datuk Adissadikin Ali berkata, myZakat adalah medium penting yang membolehkan pengagihan dana zakat dijalankan dengan cepat dan cekap kepada individu layak.

"Melalui sumbangan diberikan kepada peniaga kecil yang terdiri daripada golongan asnaf untuk mereka membaik pulih dan mengembangkan perniagaan, kami harap usaha ini menaik taraf mereka selaku penerima zakat kepada pembayar zakat suatu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 8:44 AM