DR Zulkifli, Mohamed Ridza  (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perlaburan BIMB, Najmuddin Mohd Lutfi (kanan) pada Pelancaran Dana Makmur myWakaf (MWF), semalam.
DR Zulkifli, Mohamed Ridza (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perlaburan BIMB, Najmuddin Mohd Lutfi (kanan) pada Pelancaran Dana Makmur myWakaf (MWF), semalam.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) melancarkan Dana Wakaf Pertama Di Malaysia, Dana Makmur myWakaf (MWF), sekali gus menyasarkan RM50 juta saiz dana akan dilanggan menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, Dana Makmur myWakaf adalah dana unit amanah wakaf pertama di bawah Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang diperkenalkan pada 12 November tahun lalu.

Katanya, setakat ini sebanyak RM11 juta dana MWF sudah dilanggan membabitkan pelabur korporat dan individu.

"Menerusi MWF ini, kami menjangkakan agihan keuntungan sebanyak 5.0 peratus setahun yang mana 50 peratus daripadanya akan disalurkan untuk pengagihan pendapatan sebagai Aset Wakaf untuk tujuan wakaf melalui inisiatif myWakaf AIBIM dan selebihnya kepada pelabur.

"Dari segi strategi pelaburan, pendedahan pelaburan diperuntukkan ke pasaran sukuk, ekuiti patuh syariah dan aset berisiko rendah seperti instrumen pasaran wang Islam untuk mengekalkan potensi peluang pendapatan.

"Dana ini membolehkan pelabur mengambil bahagian dalam prospek pendapatan pasaran Malaysia, Asia Pasifik dan global dengan peruntukan asetnya secara taktikal.

"Dana inovatif ini juga sesuai untuk pelabur korporat dan individu yang ingin menyalurkan sebahagian daripada pulangan pelaburan mereka untuk tujuan wakaf bagi membantu masyarakat yang kurang bernasib baik khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan komuniti," katanya pada sidang media selepas pelancaran MWF di sini, semalam.

Hadir merasmikan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Mohamed Ridza berkata, dana MWF diwujudkan sebagai usaha memperkasa dan mempelbagaikan usaha berkaitan wakaf supaya seiring dengan perubahan zaman dan teknologi semasa bagi memastikan manfaatnya dapat disalurkan kepada golongan yang layak.

"Tentunya, tarikan dana ini adalah kemudahan bagi pelabur untuk meraih pelaburan dan pada masa sama, berkongsi sebahagian pulangan pelaburan yang dijana dengan mewakafnya untuk manfaat masyarakat secara berterusan," katanya.

Dana Makmur myWakaf adalah dana pelbagai mata wang, aset campuran global patuh syariah dan menyokong inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Pelabur boleh melabur dalam Dana Makmur myWakaf melalui tiga kelas aset iaitu RM, USD dan AUD dengan pelaburan awal minimum sebanyak RM200, AS$200 dan AU$200 masing-masing.

Dana ini juga bertujuan menjana pendapatan melalui kepelbagaian portfolio pelaburan patuh syariah di pelbagai kelas aset peringkat tempatan dan global.

Dana ini menggunakan pendekatan kelestarian yang menggabungkan prinsip Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGC) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 7:00 AM