POH (tengah)  menunjukkan kad AEON Member Plus Visa dan aplikasi Aeon Wallet.
POH (tengah) menunjukkan kad AEON Member Plus Visa dan aplikasi Aeon Wallet.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Aeon Co (M) Bhd (Aeon) menerusi kad AEON Member Plus Visa menawarkan pengalaman beli-belah yang lebih baik kepada pelanggannya disamping memfokuskan segmen gaya hidup digital masa kini.

Pengarah Eksekutif Pengurusan Korporat Aeon Poh Ying Loo berkata, transformasi kad kesetiaannya kepada sistem pembayaran tanpa tunai dan dompet elektronik adalah tepat pada masanya berikutan trend beli-belah yang kini berubah kepada transaksi tanpa tunai.

Menurutnya, kad terbabit berfungsi sebagai ‘pusat sehenti’ bagi semua kad kesetiaan di bawah Kumpulan Aeon seperti Aeon Credit, Aeon Big, Aeon, Aeon Maxvalu, Aeon Maxvalu Prime dan Aeon Wellness.

Sebelum itu, katanya, pengguna perlu muat turun aplikasi Aeon Wallet di Apps Store atau Google Play untuk menggunakan dompet elektronik yang juga mempunyai kad kesetiaan secara digital.

“Pengguna akan menjadi lebih mudah untuk menikmati saat membeli-belah tanpa kebimbangan kerana kad AEON Member Plus Visa mempunyai fungsi e-dompet yang boleh diisi nilai sehingga RM10,000.

“Usaha ini juga pada masa sama membuktikan Aeon turut menyokong usaha kerajaan untuk mewujudkan masyarakat tanpa tunai di Malaysia.

“Kami adalah pengeluar kad kesetiaan yang unik kerana mampu menawarkan pelbagai fungsi dari e-dompet, kad kesetiaan sehinggalah kepada ganjaran menarik kepada pelanggan,” katanya dalam satu temu bual bersama media, di sini.

Ahli yang memiliki kad AEON Member Plus Visa berpeluang bagi menikmati sehingga dua kali mata ganjaran untuk setiap RM1 yang dibelanjakan di mana-mana gedung di bawah Aeon.

Poh berkata, pemilik kad itu juga dapat menggunakannya untuk berbelanja di luar negara yang menerima fungsi kad Visa.

Menurutnya, setakat ini fungsi e-dompet itu hanya boleh digunakan merentasi semua pembelian di Aeon namun ia akan diperluaskan kepada pedagang lain pada masa akan datang.

“Ia boleh digunakan secara meluas apabila ciri-ciri baru diperkenal dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa mengikut fasa yang ditetapkan.

“Kami mahu ia bukan sekadar kad kesetiaan dan e-dompet malah lebih dari itu untuk memenuhi keperluan gaya hidup digital yang terus mendapat permintaan ramai pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 12:26 PM