MALAYSIA dilihat mempunyai kadar penembusan  tinggi bagi segmen pembayaran tanpa tunai.
MALAYSIA dilihat mempunyai kadar penembusan tinggi bagi segmen pembayaran tanpa tunai.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Malaysia masih mempunyai ruang untuk mengembangkan penggunaan sistem pembayaran dompet elektronik (e-dompet) memandangkan ketika ini terdapat lapan peratus rakyat negara ini menggunakan perkhidmatan itu.

Pengarah Pengurusan Pelanggan Nielsen Malaysia, Deep Chowdhury berkata, e-dompet mempunyai banyak potensi untuk dilaksanakan secara meluas kerana pengguna lebih selesa untuk menggunakannya dan mula beralih ke arah kaedah pembayaran seperti itu.

Beliau berkata, sekiranya dilihat secara menyeluruh, Malaysia mempunyai kadar penembusan yang tinggi untuk pembayaran tanpa tunai iaitu sebanyak 67 peratus.

Katanya, antaranya adalah kad debit (63 peratus), perbankan dalam talian (57 peratus), kad kredit (27 peratus) dan e-dompet (lapan peratus).

“Kajian kami menunjukkan rakyat Malaysia masih memilih untuk membayar secara tunai bagi kebanyakan perbelanjaan harian seperti pembelian barang runcit atau makan di luar.

“Bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai, penyedia perkhidmatan perlu menangani isu keperluan dan penerimaan pengguna dengan menyediakan kaedah mudah dan meyakinkan,” katanya di sini.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh oleh Nielsen menunjukkan rakyat negara ini masih takut untuk menggunakan e-dompet disebabkan isu keselamatan.

Ia membabitkan pembayaran dan maklumat perbankan, kebocoran data serta isu berkaitan perisian atau perisian hasad (malware).

Deep berkata, 38 peratus rakyat mempunyai kebimbangan mengenai kemungkinan kehilangan transaksi ketika menggunakan perkhidmatan pembayaran digital itu.

Katanya, 30 peratus pula ragu-ragu apabila menggunakan e-dompet kerana risau telefon pintar mungkin dicuri untuk membuat sebarang pembayaran.

“Bagi isu kebocoran data pula, 39 peratus rakyat bimbang maklumat perbankan mereka mungkin dibocorkan kepada pihak ketiga,” katanya.

Katanya, rakyat Malaysia turut mempunyai kefahaman yang berbeza mengenai peranan e-dompet serta fungsi utamanya.

“Sebanyak 36 peratus pengguna melihat ia sebagai aplikasi yang dipautkan dengan kad atau akaun bank dan 22 peratus menganggap ia perlu ditambah nilai serta 10 peratus pula yakin ia mempunyai pelbagai fungsi manakala 12 peratus tidak tahu mengenai e-dompet,” katanya.

Malaysia ketika ini mempunyai lebih daripada 44 peserta dalam sektor e-dompet seperti TNG e-Wallet, GrabPay, CIMB Pay, Boost, BigPay, Aeon Wallet, fave Pay, Samsung Pay, Alipay dan Razerpay.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 9:07 AM