LEE (kiri) bersama Fujita (tengah) dan Ng pada  mesyuarat AGM AEON Credit, semalam.
LEE (kiri) bersama Fujita (tengah) dan Ng pada mesyuarat AGM AEON Credit, semalam.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: AEON Credit Service (M) Bhd (AEON Credit) memperuntukkan belanja modal RM120 juta bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2019 berbanding RM60 juta sebelum ini.

Pengerusinya, Ng Eng Kiat berkata, jumlah berkenaan akan digunakan bagi membangunkan inisiatif digital dan transformasi 66 cawangannya di seluruh negara bagi menyediakan infrastruktur seperti terminal layan diri dan permohonan produk melalui web.

Beliau berkata, dalam usaha menarik lebih pelanggan ke arah transaksi tanpa tunai, pihaknya merancang melancarkan dua produk baru iaitu AEON Wallet dan Kad AEON Member Plus.

“Kami akan terus melabur mengembangkan perniagaan melalui inisiatif digital yang memberikan manfaat kepada syarikat.

“Asas pelanggan yang semakin meningkat menjadikan syarikat mengambil keputusan melaksanakan transformasi cawangan serta pengenalan dua produk baru berteraskan digital,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-21 AEON Credit di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan AEON Credit Kenji Fujita dan Ketua Pegawai Kewangannya Lee Kit Seong.

Bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari lalu, AEON Credit mencatatkan untung bersih RM300 juta iaitu peningkatan 13.2 peratus berbanding tahun kewangan sebelum ini.

Syarikat itu merekodkan perolehan RM1.24 bilion iaitu 12.1 peratus peningkatan disumbangkan segmen pembayaran mudah kenderaan dan pembiayaan peribadi.

Ng berkata, pencapaian keuntungan yang menggalakkan itu dipacu produk dan servis disokong aktiviti pemasaran serta strategi promosi yang kukuh.

Pada tahun ini, pihaknya optimis prospek perniagaan syarikat dan akan memfokus kepada kad kredit serta pembiayaan peribadi serta khusus motosikal besar.

“Kami menyasarkan mencapai 400,000 pemegang kad kredit berbanding 260,00 setakat ini yang akan diraih melalui rangkaian cawangan dan rakan dagang serta saluran atas talian,” katanya.

Menurutnya, jumlah transaksi kad kredit tahun kewangan lalu RM1.25 bilion iaitu 12.6 peratus lebih tinggi walaupun berada dalam pasaran mencabar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 11:40 AM