Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Affin Bank Berhad (Affin Bank) memperkenalkan Kad Prabayar Baru Affin Merchantrade serta e-dompet dengan kerjasama Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) yang akan memberi pelanggan saiz dompet bernilai RM20,000.

Kad Prabayar Baru Affin Merchantrade membolehkan pelanggan berurus niaga atau menghantar dana secara global merentasi 20 mata wang asing pada kadar pertukaran yang kompetitif tanpa caj forex atau mata wang bersilang yang tersembunyi.

Kad Prabayar Affin Merchantrade yang datang bersama dengan aplikasi e-dompet Wang Merchantrade akan menyediakan pelanggan dengan pelbagai manfaat antaranya proses pembukaan akaun eKYC dalam aplikasi yang mudah; fleksibiliti dalam membuat pembayaran untuk barangan dan perkhidmatan di lebih daripada 120,000 pedagang Visa di Malaysia dan lebih daripada 70 juta lokasi pedagang Visa di seluruh dunia; pengeluaran tunai di cawangan Merchantrade, lokasi ejen yang mengambil bahagian serta lebih daripada 11,000 ATM Visa Plus di Malaysia dan lebih daripada 2.5 juta di seluruh dunia; serta akses kepada pelbagai saluran tambah nilai termasuk FPX, Jompay dan pemindahan kad ke kad.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, Kad Prabayar Affin Merchantrade yang dikaitkan dengan aplikasi e-dompet Wang Merchantrade telah disesuaikan untuk menangani isu pertukaran mata wang dan kiriman wang yang biasa dihadapi oleh pelanggan.

"Ia bagi membolehkan mereka memanfaatkan sepenuhnya wang mereka, terutamanya bagi mereka yang kerap berurus niaga dalam lebih daripada satu mata wang.

"Kerjasama terbaharu dengan Merchantrade ini menandakan usaha progresif kami dalam mengadaptasi penyesuaian digital dan memenuhi keperluan kewangan pelanggan kami yang semakin berkembang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya berharap produk baharu ini dapat memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan apabila melakukan transaksi mereka di peringkat global tanpa perlu risau mengenai caj yang tidak perlu dan kerumitan mencari kadar pertukaran terbaik.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade Asia, Ramasamy K Veeran berkata, pihaknya sangat teruja untuk bekerjasama dengan Affin Bank dalam projek transformatif ini.

"Penyelesaian aplikasi e-dompet Wang Merchantrade membolehkan kami menyediakan rakan kongsi dengan perkhidmatan tambah nilai melalui satu platform sebagai penyedia pembayaran perkhidmatan penuh dan menawarkan pelanggan kemudahan dan nilai lebih besar dalam transaksi mereka di dalam ataupun luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 7:12 PM