PENGGUNA mencuba aplikasi e-dompet di kaunter bayaran.
PENGGUNA mencuba aplikasi e-dompet di kaunter bayaran.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Boost, aplikasi dompet elektronik (e-dompet) dibangunkan Axiata Digital menyasarkan peningkatan pendaftaran pengguna melebihi lima juta tahun ini berbanding 3.5 juta pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital, Mohd Khairil Abdullah berkata, pihaknya optimis lebih ramai mendaftar sebagai pengguna Boost bersandarkan kepada prestasi pertumbuhan sehingga enam kali ganda pada tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan beberapa langkah strategik untuk menarik lebih ramai pengguna Boost seperti menawarkan lebih banyak inovasi produk dan kerjasama bersama jenama terkemuka.

“Untuk inovasi produk, kami berharap dapat memperkenalkan satu atau lebih ciri baru pada setiap bulan dalam memudahkan pengalaman penggunaan e-dompet.

“Buat masa ini, kami mempunyai 60,000 peniaga dan melihat untuk menjalin usaha sama dengan jenama utama di pasaran seterusnya mencapai 100,000 peniaga pada hujung tahun ini.

“Apa yang penting adalah memastikan Boost dapat digunakan secara lebih meluas kerana ia dapat menyumbang untuk meningkatkan jumlah penggunanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman kerjasama antara Boost dan Watsons Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Watsons Malaysia, Caryn Loh dan Pengarah Pelanggannya, Danny Hoh.

Mohd Khairil berkata, menerusi kerjasama dengan Watsons, aplikasi e-dompet Boost kini boleh digunakan di lebih 450 lokasi peruncit kecantikan dan kesihatan itu di seluruh negara.

“Ia juga sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan masyarakat tanpa tunai dan pada masa sama turut menyediakan kemudahan bagi melakukan transaksi harian yang lain.

“Malah, kami berharap dapat mengekalkan kedudukan sebagai pengendali e-dompet nombor satu dalam pasaran untuk segmen itu tahun ini,” katanya.

Mengulas mengenai kehadiran peserta e-dompet lain di pasaran ketika ini, beliau berkata, ia menjadi kelebihan kepada Boost kerana peningkatan produk seumpama itu dapat mewujudkan ekosistem tanpa tunai.

“Pesaing utama kepada kami adalah tunai, kerana usaha kami adalah untuk menarik lebih ramai pengguna untuk menggunakan aplikasi e-dompet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 6:15 AM