SHAHRIL RIDZA RIDZUAN
SHAHRIL RIDZA RIDZUAN
BERNAMA

KHAZANAH Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemegang saham bagi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) belum terbabit secara rasmi dalam urusan penjualan konsesi lebuh raya, walaupun kerajaan dilaporkan menerima beberapa cadangan pengambilalihan daripada beberapa syarikat.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, dari aspek tadbir urus, sebarang keputusan berkaitan penjualan aset sepatutnya perlu dilakukan secara rasmi dengan pemegang saham iaitu Khazanah dan KWSP.

“Namun, ia tidak pernah dimulakan,” katanya kepada media pada Forum Integriti anjuran Bank Rakyat, di Kuala Lumpur, hari ini.

Khazanah, dana berdaulat negara memiliki pegangan sebanyak 51 peratus dalam PLUS melalui anak syarikatnya, UEM Group Bhd manakala, baki pegangan sebanyak 49 peratus dimiliki KWSP.

Sementara itu, Shahril Ridza berkata, Khazanah dan KWSP tidak pernah menyatakan untuk menjual aset berkenaan dan tidak ada sebarang proses bidaan yang berlaku.

“Apabila bercakap mengenai tawaran yang diterima, berlaku sedikit salah faham kerana tidak ada proses bidaan yang berlaku dan tiada pembida yang tampil.

“Ini semua adalah tawaran yang dibuat kepada kerajaan dan bukan kepada pemegang saham. Malah, kami tidak terbabit dalam sebarang proses penjualan aset,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 6:38 PM