Lit Han dan Pui Ye bersama anak mereka, Zheng Qiang yang menghidap 'Crouzon Syndrome' dan perlu jalani tiga pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. FOTO ROHANIS SHUKRI
Lit Han dan Pui Ye bersama anak mereka, Zheng Qiang yang menghidap 'Crouzon Syndrome' dan perlu jalani tiga pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. FOTO ROHANIS SHUKRI
Redzuan Muharam


Petaling Jaya: "Saya cuma nak dia sihat saja dan kembali normal seperti kanak-kanak lain," kata Ong Lit Han, 34, bapa kepada kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU), Ong Zheng Qiang, 5, yang menghidap sindrom Crouzon.

Zheng Qiang berdepan masalah kecacatan bentuk tulang tengkorak, masalah saluran pernafasan sempit dan sindrom bentuk muka.

Lit Han yang menetap di Jinjang, Kepong, berkata, dia buntu memikirkan cara mendapatkan wang RM50,000 bagi membolehkan anaknya menjalani tiga peringkat pembedahan 'Monobloc Distraction Osteogenesis' pada 12 Jun depan.

Menurutnya, doktor mengesyorkan pembedahan itu dilakukan segera sebagai alternatif merawat Qiang yang kemungkinan ada peluang sembuh jika menjalani prosedur berkenaan.

Bercerita lanjut, Lit Han berkata, penyakit itu dikesan agak lewat iaitu ketika kandungan isterinya, Chong Pui Yee, 33, berusia sembilan bulan selepas mendapati ada lebihan cecair dalam otak.

"Dua hari selepas lahir, anak saya dikehendaki menjalani pembedahan saluran pernafasan dan diikuti VP Shunt iaitu membuang lebihan cecair dalam otak lima hari kemudian (ketika Qiang berumur tujuh hari).

"Bagaimanapun, ia tidak menyembuhkan Qiang dan dua tahun lalu, anak saya menjalani pembedahan trakeostomi atau tebukan pada leher bagi memasukkan tiub pernafasan selepas mengalami masalah kesukaran bernafas .

"Tahun lalu, anak saya sekali lagi menjalani pembedahan tebukan di perut untuk memasang tiub khas bagi membolehkan Qiang minum susu," katanya ketika ditemui Harian Metro di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, hari ini.

Menurutnya, sindrom dialami mengakibatkan anaknya tidak dapat berjalan sehingga ke hari ini.

Lit Han berkata, dia dan isteri juga tidak dapat mendengar suara Qiang kerana anak tunggal mereka itu juga mempunyai masalah pertuturan sejak menjalani pembedahan pembedahan trakeostomi.

"Dulu Qiang ada suara lagi tetapi kini dia tak boleh bercakap langsung malah menangis pun tiada suara.

"Qiang juga tak boleh berjalan sebaliknya mampu duduk saja dan lebih banyak tidur serta baring waktu di rumah daripada bermain.

"Matanya juga tak boleh tutup dengan rapat waktu tidur dan mungkin keadaan jadi lebih baik selepas pembedahan nanti.

"Masalahnya, saya kerja peniaga di Pasar Borong Selayang, Selangor dengan pendapatan RM3,000 saja dan isteri suri rumah sepenuh masa jadi macam mana nak cari duit yang banyak untuk pembedahan anak?" katanya.

Meskipun Qiang tidak seperti kanak-kanak lain, Lit Han dan isteri tetap berusaha memberi keceriaan kepada anaknya itu.

"Sesekali, kami bawa juga Qiang keluar berjalan dan waktu di luar, ramai tanya mengenai keadaannya.

"Ada juga yang nak beri duit kerana kasihan dan setakat ini, tak ada pun yang cakap buruk mengenai Qiang.

"Saya tak minta lebih cuma berharap ada yang sudi bantu sumbang untuk bantu anak saya menjalani pembedahan," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dalam bentuk cek, dengan menulis nama Ong Zheng Qiang di belakang cek.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 4, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 14010008842718 atau Maybank bernombor 514105323170 dengan menyatakan nama pesakit pada bahagian rujukan penerima atau butiran pembayaran lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 2:27 PM