MUSTAPA  (dua dari kiri) bersama  Zainal   (kiri) selepas  majlis pelancaran  Perodua Myvi baru sempena perasmian Hari MITI 2017 Zon Pantai Timur di  Kota Bharu, semalam.
MUSTAPA (dua dari kiri) bersama Zainal (kiri) selepas majlis pelancaran Perodua Myvi baru sempena perasmian Hari MITI 2017 Zon Pantai Timur di Kota Bharu, semalam.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan jualan model Myvi baru di seluruh negara sebanyak 70,000 hingga 80,000 unit pada tahun hadapan.

Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd (PCSB) Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sambutan terhadap Myvi baru itu sangat menggalakkan terutama bagi varian 1.5 liter.

Katanya, dalam tempoh 10 hari sehingga semalam, sebanyak 8,000 unit kereta berkenaan sudah ditempah terutama oleh golongan muda dan ia dijangka akan terus meningkat.

“Sebanyak 80 peratus tempahan bagi varian 1.5 liter. Kami jangka hingga hujung tahun ini sebanyak 15,000 hingga 16,000 Myvi ini akan ditempah.

“Ia digemari golongan muda dan eksekutif kerana kereta ini menggunakan teknologi terkini, versatil, kelihatan sangat mewah dan keselamatan pintar serta harganya yang berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Hari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Zon Pantai Timur di Hotel Grand Riverview di sini, semalam.

Program dirasmikan oleh Menteri MITI Datuk Seri Mustapa Mohamed. Turut hadir, Timbalan Menteri MITI Datuk Ahmad Maslan.

Zainal Abidin berkata, Myvi baru itu dilancarkan Khamis lalu dan ia hasil rekaan anak tempatan.

“Kami harap rakyat Malaysia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan kenderaan itu.

“Myvi serba baru tampil dengan lima varian iaitu 1.3 liter Standard G (MT) - RM44,300, 1.3 liter Standard G (AT)- RM46,300, 1.3 liter Premium X (AT)- RM48,300, 1.5 liter High (AT) - RM51,800 dan 1.5 liter Advance (AT) - RM55,300,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, lebih 5,000 pengunjung yang hadir pada hari MITI dan ia melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Pelbagai program membabitkan peluang perniagaan dan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hadir untuk mendapatkan input serta peluang yang disediakan kerajaan termasuk dana bagi mengembangkan perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 9:55 AM