Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Permintaan bagi segmen hartanah khususnya kediaman mampu milik dilihat terus meningkat dalam kalangan pembeli di negara ini, sekali gus membuktikan industri hartanah tempatan masih kukuh dan berdaya maju.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pembeli sentiasa mempunyai sentimen positif dalam pembelian hartanah kediaman, malah mempunyai keinginan terhadap produk berkualiti tinggi daripada pihak pemaju.

Bagaimanapun, meskipun wujud peningkatan dalam permintaan rumah, pembeli turut mengambil langkah berhati-hati sebelum memulakan sebarang transaksi pembelian rumah.

“Kebanyakan daripada mereka mahu membeli dan memiliki rumah, namun masih perlukan masa yang panjang untuk membuat keputusan kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek seperti pembiayaan, perbelanjaan dan perkara lain yang berkaitan.

“Mereka ini adalah kumpulan bakal pembeli yang ingin memiliki rumah namun masih berhati-hati kerana ia bukan satu keputusan yang boleh dilakukan begitu saja,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan Sentimen Pengguna PropertyGuru baru-baru ini menunjukkan keyakinan terhadap sektor hartanah Malaysia kekal stabil dengan 36 peratus daripada responden menyatakan kepuasan menyeluruh terhadap keadaan pasaran pada separuh tahun pertama tahun ini.

Sementara itu, sebanyak 24 peratus lagi memberikan pandangan yang neutral dan persepsi negatif menurun ke 39 peratus daripada tahap tertinggi iaitu 53 peratus seperti yang direkodkan pada suku pertama 2015.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia Sheldon Fernandez berkata, faktor utama yang dinyatakan oleh pengguna adalah peningkatan harga hartanah secara beransur-ansur, tetapi stabil pada tahun ini terutamanya bagi hartanah perumahan bertanah di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

“Pasaran hartanah kini terdiri daripada penghuni pemilik atau pelabur jangka panjang. Hartanah bertanah yang umumnya dibeli keluarga atau pasangan yang baru berkahwin berdasarkan kemampuan memiliki menerusi pendapatan bersama memberikan momentum bagi urus niaga jualan dan belian.

“Kini kediaman dibeli lebih jauh dari pusat bandar dan trend ini muncul sebagai ciri yang kian berkembang bagi tahun 2016 dan 2017 di mana pembeli berasa lebih terjamin serta selesa dengan senario baru ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Sheldon berkata, situasi berkenaan adalah permulaan bagi pasaran hartanah yang lebih sihat yang dapat memperkukuhkan keyakinan orang ramai untuk menjalankan urus niaga.

“Berdasarkan Indeks Pasaran PropertyGuru (PMI) yang menunjukkan penurunan harga hartanah ke tahap yang paling rendah pada suku pertama 2017, terdapat kemungkinan pemulihan sektor ini mungkin akan berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 6:14 AM