Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Segmen pelaburan hartanah tempatan kini mulai semakin meningkat baik apabila pelabur hartanah kembali menunjukan minat terhadap segmen itu meskipun berdepan kemelut ekonomi global, penyusutan ringgit dan kenaikan harga hartanah.

Menurut Laporan Kajian Sentimen Pasaran Hartanah Malaysia PropertyGuru Separuh Pertama 2016, pembeli dilihat berpuas hati dengan prestasi pasaran hartanah tempatan setakat ini.

Sebanyak 49 peratus responden menyuarakan keyakinan terhadap prospek kenaikan harga hartanah dalam jangka masa panjang.

Meskipun situasi pasaran hartanah tempatan sukar diramal secara tepat, namun langkah strategik kerajaan dilihat begitu proaktif dalam mengembalikan sentimen positif orang awam untuk merancakkan pertumbuhan hartanah tempatan.

Antaranya termasuklah program pembangunan Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) iaitu penambahbaikan keadaan infrastruktur, fasiliti dan pembangunan berterusan di zon ekonomi terpilih seperti wilayah Iskandar Malaysia.

Veteren hartanah merangkap Pengarah Eksekutif Jones Lang Wootton, Prem Kumar berkata, selama ini pasaran hartanah Malaysia sememangnya mudah pulih dan tidak berdepan perubahan drastik sejak krisis kewangan pada 1997.

“Meskipun keadaan pasaran agak mencabar, pertumbuhan industri hartanah dalam jangka panjang tidak terjejas berikutan pelbagai polisi diperkenalkan kerajaan bagi mendorong pertumbuhan sektor hartanah sebagai penyumbang utama pembangunan ekonomi,” katanya.

Menurut Prem, pemegang saham semakin sukar membuat keputusan kritikal berikutan masa depan industri dipengaruhi pelbagai faktor luaran yang kurang memberangsangkan.

“Pengukuhan pasaran hartanah dan ketidakpastian situasi tersebut cabaran utama perlu diatasi industri tahun ini,” katanya.

Walaupun keadaan pasaran sedikit suram sejak dua tahun kebelakangan ini situasi tersebut dijangka kembali meningkat naik dengan keyakinan pelabur pasaran hartanah tempatan kini dilihat semakin positif.

Januari lalu, industri hartanah tempatan diunjur mengalami pertumbuhan mendatar dan mencabar pada 2016 selepas melalui beberapa fasa lonjakan pada 2011 hingga 2013 yang menyaksikan peningkatan harga rumah membabitkan pelbagai jenis kediaman.

Trend dijangka berlarutan sepanjang 2016 dengan jangkaan pemulihan berlaku dalam senario semasa sekitar 2017 dan 2018 menerusi peningkatan ekonomi semasa negara yang akan kembali pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:04 AM