HARGA kediaman dijangka bakal berada pada paras rendah dalam tempoh awal 2022.
HARGA kediaman dijangka bakal berada pada paras rendah dalam tempoh awal 2022.
Hajar Umira Md Zaki


PROPERTYGURU berpendapat bahawa separuh pertama 2022 adalah masa yang sesuai buat pencari rumah untuk mendapatkan unit kediaman.

Ini kerana dalam tempoh berkenaan, harga kediaman berada pada paras rendah dan dalam aliran menaik serta pembeli bakal mendapat manfaat daripada kadar faedah rendah yang sedang ditawarkan.

Bagaimanapun, mereka dinasihatkan untuk mempertimbangkan kestabilan kewangan peribadi dan jaminan pekerjaan sebelum membuat komitmen kewangan jangka panjang.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia Sheldon Fernandez berkata, dengan harga yang bergerak positif pada suku akhir tahun, dan sentimen beransur-ansur bertambah baik, kemungkinan besar lebih ramai pembeli hartanah ingin menikmati potensi peningkatan harga pasaran sementara persekitaran kewangan masih menggalakkan.

"Ini adalah momentum yang dijangka meningkat dan berterusan sehingga ke tahun 2022," katanya.

Menurutnya, persekitaran semasa tidak sesuai untuk mereka yang ingin menjual hartanah untuk keuntungan lebih besar, kerana penjual menghadapi persaingan daripada lebihan hartanah baru dan tidak berpenghuni yang menyediakan pelbagai pilihan kepada pembeli.

"Namun, sekiranya pasaran terus meningkat pada pertengahan 2022, hartanah yang terletak di lokasi bernilai tinggi dan berpusat boleh menyaksikan peningkatan harga tawaran yang memberangsangkan," katanya pada taklimat media secara maya mengenai Laporan Tinjauan Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia 2022 semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi; Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Chan Ai Cheng dan Pengarah Urusan PropertyGuru DataSense Malaysia, Joe Thor.

Menurutnya, melangkah ke hadapan, PropertyGuru meramalkan beberapa trend yang akan memberi kesan kepada sektor hartanah Malaysia pada 2022.

"Pada tahun depan, rumah teres kekal sebagai pilihan utama. Ia mewakili jumlah terbesar hartanah yang dibeli oleh pembeli rumah pertama dan pelabur pada separuh pertama 2021, menurut kajian PropertyGuru DataSense.

"Pilihan itu dipengaruhi oleh pembatasan Covid-19 baru-baru ini kerana golongan profesional muda mencari lebih banyak ruang untuk mengimbangi gaya hidup dan keperluan kerja, terutamanya apabila bekerja dari rumah kini menjadi pilihan jangka panjang, seperti hasil dapatan Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia Separuh Kedua 2021," katanya.

Selain itu, pada tahun depan juga, pasaran hartanah bakal menyaksikan keterujaan berikutan beberapa projek mega diteruskan.

"Ia akan mewujudkan keterujaan dalam pasaran hartanah dan menambah nilai kepada segmen kediaman, komersial dan runcit.

"Ini termasuk infrastruktur penting seperti pelancaran Transit Aliran Massa 3 (MRT 3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), serta Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 6:05 AM