FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Bisnes hmetro

Kuala Lumpur: PropertyGuru menyaksikan penurunan harga permintaan terhadap kediaman pada suku pertama 2021 berikutan lonjakan semula jangkitan Covid-19.

Dalam laporan terbaru Indeks Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia (MPMI), ia mendapati berlaku trend penurunan 0.84 peratus suku ke suku (QoQ) dan 1.79 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada 87.86 mata indeks dalam tempoh berkenaan.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, penurunan itu mungkin berkait rapat dengan kebimbangan pembeli yang kini mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' selepas berlakunya lonjakan semula jangkitan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) yang mempengaruhi aktiviti komersial.

"Dengan situasi yang tidak menentu ini, kami percaya bahawa sentimen waspada menguasai pasaran dan segmen hartanah dijangka berdepan trend harga turun naik dalam beberapa bulan mendatang.

"Namun, peningkatan kadar vaksinasi di seluruh masyarakat Malaysia diharap dapat menambah kestabilan dan meningkatkan sentimen pengguna selari dengan perkembangan semasa," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, rancangan kerajaan untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) hingga ke akhir 2021 disambut baik pasaran, kerana ia akan terus memainkan peranan penting dalam mendorong minat pembeli apabila situasi ekonomi mula bertambah baik sepanjang tahun ini.

"HOC terbukti sebagai rangsangan ekonomi yang berkesan dan ia sememangnya telah membantu untuk mengurangkan beban pembeli hartanah pada masa sukar ini.

"Sekiranya kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh HOC hingga ke hujung tahun ini, kami menggesa pencari rumah untuk memanfaatkan insentif yang ada, harga semasa yang rendah dan kadar faedah kondusif," katanya.

Sheldon berkata, keseluruhan harga permintaan di Kuala Lumpur, Johor, dan Pulau Pinang, merosot masing-masing sebanyak 0.66 peratus, 0.29 peratus, dan 1.36 peratus QoQ, sementara harga permintaan di Selangor kekal positif pada kadar 0.01 peratus.

Pada suku pertama 2021, harga permintaan YoY Kuala Lumpur susut sebanyak 5.00 peratus, penurunan tertinggi yang dicatatkan sejak PropertyGuru melancarkan indeks pasarannya pada 2016.

"Penurunan trend lebih dua tahun ini dipercepatkan pandemik serta boleh dilihat sebagai trend pengubahan harga yang telah bermula seiring dengan tempoh ekonomi yang mencabar dan penawaran harga melampau hartanah.

"Trend penurunan harga ini juga dapat dilihat di Pulau Pinang dan Johor, sejak suku pertama 2019 dan suku keempat 2017.

"Harga hartanah di pasaran utama ini distabilkan dan disesuaikan dengan julat yang lebih berpatutan, dan penurunan harga permintaan yang berterusan itu kini menjadikannya sebagai pasaran pembeli. Pengubahan harga di KL, Johor, dan Pulau Pinang adalah peluang bernilai untuk pelaburan dan pembelian hartanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 8:28 AM