Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise), syarikat hartanah terkemuka tempatan memperkenalkan pembangunan perbandaran bercampur, Serene Heights Bangi dengan kapasiti 436 unit kediaman dari tiga fasa utamanya iaitu Acacia, Begonia dan Camellia.

Sehingga penghujung April 2017, projek hartanah terbabit menunjukkan kemajuan memberangsangkan di mana Acacia berada pada kadar siap 99 peratus dan Begonia menunjukkan kadar siap 98 peratus manakala Camellia 70 peratus.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan UEM Sunrise, Datuk Roslan Ibrahim berkata, Serene Heights Bangi mendapat permintaan yang begitu memberangsangkan sejak pelancaran awalnya pada Jun 2015.

Beliau berkata, tiga fasa projek perbandaran bercampur itu dibangunkan di kawasan seluas 16.4 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan bernilai RM287.5 juta dan sebahagian daripada 181.3 hektar pembangunan Serene Heights dengan GDV keseluruhan RM3.4 bilion.

Menurutnya, Serene Height mempunyai kelebihan untuk berkembang menjadi perbandaran yang mampan serta mewujudkan komuniti penduduk yang lebih dinamik pada masa akan datang.

“Fasa pertama, Acacia yang dilancarkan pada Jun 2015 menyediakan 121 rumah teres dua tingkat di kawasan seluas 4.47 hektar dengan GDV bernilai RM73.2 juta yang ditawarkan pada harga antara 550,800 hingga RM919,800.

“Bagi fasa kedua iaitu Begonia dilancarkan pada November 2015 pula berkeluasan 6.2 hektar, menawarkan 153 rumah teres dua tingkat dengan GDV RM107.6 juta dan dijual pada harga RM636,800 hingga RM781,800.

“Fasa ketiga iaitu Camellia menyediakan 162 rumah kategori ‘Sudut Tambahan’ yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu dengan GDV RM106.7 juta pada harga antara RM590,800 hingga RM992,800,” katanya.

Serene Heights Bangi terletak 43 kilometer (KM) dari Kuala Lumpur dan lebih menarik ia berada berhampiran dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Maktab Perguruan Islam, Institut Malaysia Perancis, Kolej Poly-Tech Mara, Universiti Tenaga Nasional, Institut Malaysia Jerman serta Kolej Pengurusan Penerbangan.

Sementara itu, Roslan berkata, pihaknya yakin dapat mencapai kadar pembelian 100 peratus bagi unit kediaman di tiga fasa pertama pembangunan perbandaran bercampur Serene Heights menjelang akhir 2018.

Beliau berkata, setakat ini, kediaman teres dua tingkat Acacia berjaya dijual kesemuanya manakala Begonia dan Camellia kini masing-masing terjual 78 peratus dan 88 peratus.

“Kami menjangkakan ketiga-tiga fasa itu akan terjual sepenuhnya menjelang akhir 2018, memandangkan beberapa pembeli berminat untuk melaksanakan pembelian sebaik saja kediaman itu selesai dibina,” katanya.

Mengenai kadar pembelian yang agak perlahan bagi Begonia, Roslan berkata, ia disebabkan isu pinjaman perumahan yang dihadapi pembeli berpotensi, memandangkan kediaman itu ditawarkan pada harga tertinggi antara ketiga-tiga projek berkenaan.

“Bagaimanapun, kami menyaksikan permintaan semakin meningkat bagi pembangunan kediaman bertanah mampu milik walaupun keadaan ekonomi yang sukar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 12:47 AM