Fairul Asmaini Mohd Pilus


Belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan Jumaat depan diharapkan dapat menumpukan kepada aspek rangsangan sektor hartanah, bantuan kewangan dan mempromosikan lagi kelestarian.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, semua itu penting bagi terus menyokong pertumbuhan dan pemulihan sektor hartanah di negara ini.

Kata Sheldon, disebabkan Malaysia sedang menuju ke arah pemulihan negara, Belanjawan 2022 harus bertujuan menjadikan pemilikan rumah lebih mudah bagi golongan B40 dan M40.

Ini kerana, walaupun lebih empat daripada lima pencari rumah berhasrat membeli hartanah di Malaysia pada masa akan datang namun harga hartanah yang tinggi menjadi penghalang utama bagi pencari rumah.

Dapatan itu diperoleh berdasarkan Kajian Sentimen Pengguna H2 2021 PropertyGuru.

"Meskipun kerajaan memperkenalkan pelbagai bantuan kewangan untuk membantu pemilik hartanah Malaysia dan menyokong sektor hartanah, kajian yang sama mendapati bahawa 84 peratus rakyat Malaysia percaya lebih banyak usaha boleh dilakukan oleh kerajaan untuk menjadikan perumahan lebih mampu milik.

"Manakala 58 peratus lagi mahukan kerajaan memperluaskan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) ke hartanah sekunder," katanya.

Menurut Sheldon lagi, HOC membantu ramai pembeli rumah kali pertama membeli hartanah dalam beberapa tahun ini dan berjaya mendorong aktiviti di pasaran hartanah yang perlahan.

Justeru, pihaknya berharap kerajaan bukan sahaja melanjutkan HOC hingga ke tahun depan, tetapi juga memperluaskan insentif yang ditawarkan di bawah kempen itu ke pasaran kediaman sekunder.

BELANJAWAN 2022 diharap dapat menumpukan kepada aspek rangsangan sektor hartanah, bantuan kewangan dan mempromosikan lagi kelestarian.
BELANJAWAN 2022 diharap dapat menumpukan kepada aspek rangsangan sektor hartanah, bantuan kewangan dan mempromosikan lagi kelestarian.

Kata Sheldon, berdasarkan analisis terkini dari cabang analisis dan penyelesaian data, PropertyGuru DataSense, pasaran hartanah sekunder sudah berkembang dengan stabil sejak beberapa tahun lepas.

"Sungguhpun pandemik jelas memberi impak terhadap jumlah keseluruhan urus niaga hartanah, ia nampaknya turut meningkatkan populariti transaksi hartanah sekunder sepanjang tahun 2020 dan 2021.

"Oleh itu, jika HOC diperluaskan ke pasaran sekunder, ia akan memberikan pengaruh besar bagi pasaran perumahan dan mendorong lebih banyak pembeli rumah kali pertama untuk mempertimbangkan hartanah sekunder.

"Ini kerana pengecualian duti setem dapat membantu mengurangkan kos awal yang berkaitan dengan pembelian rumah," katanya.

Selain memberi sokongan kepada pembeli rumah pertama, perlu juga ada usaha bagi membantu mereka yang berjuang mengekalkan kediaman mereka ketika pandemik melanda.

Sheldon berkata, pihaknya menghargai inisiatif kerajaan yang memberikan pengecualian sewa kepada golongan yang terjejas dan memanjangkan tempoh moratorium pembayaran sewa bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan Keluarga Malaysia berkaitan perumahan.

JIKA HOC diperluaskan ke pasaran sekunder, ia akan memberikan pengaruh besar bagi pasaran perumahan dan mendorong lebih banyak pembeli rumah kali pertama untuk mempertimbangkan hartanah sekunder.
JIKA HOC diperluaskan ke pasaran sekunder, ia akan memberikan pengaruh besar bagi pasaran perumahan dan mendorong lebih banyak pembeli rumah kali pertama untuk mempertimbangkan hartanah sekunder.

Namun, tegasnya, lebih banyak lagi yang dapat dilakukan untuk mereka dalam golongan B40 dan M40.

Kata beliau, pihaknya menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan untuk memberikan pelepasan cukai pendapatan ke atas faedah terkumpul dari pinjaman perumahan selepas moratorium berakhir kerana ia akan membantu meringankan beban isi rumah yang memerlukan.

Selain itu, pihaknya percaya wajar juga untuk meringankan beban mereka yang terpaksa menjual kediaman mereka dalam masa yang sukar ini.

"Justeru, kami berharap kerajaan dapat melanjutkan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CHKT) ke tahun hadapan atau menurunkannya sementara rakyat Malaysia dan pasaran hartanah masih dalam proses pemulihan.

"Pelanjutan itu akan membantu meringankan beban pemilik rumah, kerana jika tidak, CHKT mungkin menjadi beban tambahan kepada isi rumah yang terpaksa menjual rumah mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Ia secara tindak langsung dapat merangsang pasaran hartanah dengan mendorong aktiviti jual beli hartanah kediaman," katanya.

Dalam pada itu, Sheldon juga berharap supaya kerajaan dapat memperkenalkan insentif sewa yang dapat memberi manfaat kepada penyewa dan tuan rumah.

Sebagai contoh, kerajaan New South Wales di Australia memperkenalkan insentif kewangan yang boleh dituntut tuan rumah yang memberikan pengurangan sewa kepada penyewa yang terkesan oleh Covid-19.

Inisiatif yang serupa boleh dilaksanakan di Malaysia untuk membantu penyewa yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik dan tidak dapat membayar sewa mereka buat sementara waktu.

PENGECUALIAN CHKT diharap dapat dilanjut ke tahun hadapan atau menurunkannya sementara rakyat Malaysia dan pasaran hartanah masih dalam proses pemulihan.
PENGECUALIAN CHKT diharap dapat dilanjut ke tahun hadapan atau menurunkannya sementara rakyat Malaysia dan pasaran hartanah masih dalam proses pemulihan.

Insentif itu juga dapat membantu tuan rumah dari segi kewangan, jadi mereka tidak perlu menjual hartanah atau mengusir penyewa yang mungkin menyebabkan masalah kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, aspek kelestarian juga tidak boleh dipinggirkan dalam belanjawan kali ini.

Menurut Sheldon, walaupun penting bagi Belanjawan 2022 untuk menangani cabaran semasa yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dan sektor hartanah, kita tidak boleh melupakan agenda jangka panjang yang sama pentingnya untuk mempromosikan kehidupan bandar lestari.

Sheldon berkata, sebagai sebuah syarikat yang komited terhadap kelestarian dan menangani perubahan iklim, ia amat mengujakan untuk melihat pentadbiran sekarang komited dalam mengutamakan pembangunan bandar yang hijau dan berdaya tahan berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12.

Untuk itu, pihaknya berharap keutamaan itu juga dapat dizahirkan dalam belanjawan negara kali ini.

Kata beliau, lebih banyak insentif diperlukan untuk memacu pembangunan hijau di negara ini dan mendorong pemaju untuk menggunakan peralatan dengan pensijilan hijau yang diakreditasi seperti Indeks Bangunan Hijau (GBI) mahupun Alat Pengurangan Karbon dan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia (MyCREST) ??ketika tempoh operasi serta pembinaan projek pembangunan.

Kerajaan juga harus memberikan pengurangan cukai tambahan bagi bangunan yang diiktiraf sebagai bangunan hijau supaya pemaju dapat memperoleh keuntungan dari pemotongan cukai pendapatan setara dengan perbelanjaan modal tambahan untuk mendapatkan persijilan hijau itu.

"Dari sudut pandangan pengguna, menurut dapatan Kajian Sentimen Pengguna H2 2021 PropertyGuru, lebih dari sembilan daripada 10 rakyat Malaysia meletakkan kepentingan terhadap gaya hidup lestari dan 71 peratus lagi menganggap penggunaan bahan lestari oleh pemaju adalah penting bagi mereka.

"Namun, disebabkan kos pembinaan bangunan hijau biasanya lebih tinggi daripada pembinaan bangunan tradisional, walaupun perbezaan kos akan dapat ditanggung dalam jangka panjang, ia boleh menjadi penghalang pembeli untuk membeli rumah lestari.

"Oleh itu, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memberikan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah yang membeli hartanah dengan pensijilan hijau untuk mendorong permintaan berkenaan," katanya.

Mengakhiri harapan peneraju laman web hartanah itu, Sheldon berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dan menyediakan tinjauan yang boleh membantu masyarakat dalam membuat keputusan yang tepat.

Ia sekali gus dapat membantu mendorong pemulihan yang sihat dan pertumbuhan pasaran hartanah negara yang lebih mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:01 AM