GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

SUKUK hibrid dijangka menguasai terbitan sukuk masa depan berikutan penerimaannya yang meluas oleh pakar undang-undang Islam, kata RAM Ratings Services Bhd.

Sukuk hibrid adalah struktur sukuk yang menggabungkan dua atau lebih unsur-unsur berbeza, yang boleh terdiri daripada lebih daripada satu kontrak Syariah, campuran hutang dan ekuiti atau aset pendasar ketara dan tidak ketara.

Sebelum ini, sebahagian besar sukuk berstruktur berdasarkan satu kontrak Syariah, seperti ijarah, musyarakah, mudharabah atau murabahah komoditi.

"Bagaimanapun, pematuhan kepada standard syariah Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan Institusi Kewangan Islam, telah membawa kepada perubahan yang progresif ke arah sukuk hibrid," kata Ketua Kewangan Islam RAM Ratings Services Ruslena Ramli dalam satu kenyataan, hari ini.

Landskap kewangan Islam telah berkembang menjadi pasaran kewangan yang cergas serta telah menarik perhatian seluruh dunia, dan memandangkan kadar kemajuannya, produk telah berkembang untuk memenuhi keperluan keadaan semasa.

RAM Ratings Services berkata, usaha berterusan untuk meneruskan model global berpusat boleh memudahkan dan mengukuhkan ekosistem kewangan Islam tetapi berpandukan standard dan garis panduan setiap bidang kuasa masih akan diterima pakai apabila menetapkan jenis kontrak Syariah yang diguna pakai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 12:53 PM