WAHID (depan kanan) di sisi pokok yang ditanam.
WAHID (depan kanan) di sisi pokok yang ditanam.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


BAGI meneruskan agenda menghijaukan kampus, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif melaksanakan Program Mytree Evolution dan Tree Planting yang dianjurkan di universiti itu, baru-baru ini.

Program dianjurkan sempena Minggu Mesra Mahasiswa UTM 2019 dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bertemakan 1Pokok 1Siswa dan 1Aspirasi.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, inisiatif UTM melaksanakan program itu bagi menyokong usaha yang dilakukan JPSM dalam melestarikan alam sekitar.

“Sebanyak 3,780 anak pokok akan ditanam dalam kawasan UTM secara berperingkat dalam setahun dengan konsep sebatang pokok bagi seorang pelajar.

“Teknologi kod QR akan digunakan bagi membantu melancarkan proses pemantauan pokok ini oleh penuntut yang dipertanggungjawabkan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kempen itu.

Program pelancaran disempurnakan Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Datuk Jeffri Abd Rashid. Hadir sama, Pengarah Pelestarian Kampus UTM, Prof Ir Dr Mohd Fadhil Md Din.

Dr Wahid berkata, pelaksanaan program itu akan menambahkan kehijauan kampus dan ia kesinambungan usaha universiti memelihara persekitaran kampus yang lebih lestari.

“Kita tidak saja menanam pokok, tetapi turut memantau pembesarannya. Sebagai contoh, pokok damar ini mempunyai pembesaran 0.62 sentimeter setiap tahun.

“Kita boleh pantau pokok mengikut maklumat yang ada terutama peletakan kod QR pada setiap pokok ditanam itu,” katanya.

Katanya, projek berkenaan adalah tanda ingatan pelajar kepada kampus itu melalui pokok yang ditanam.

“Saya yakin selepas tamat pengajian, mereka ada sesuatu untuk diingati dan pokok yang ditanam ini menjadi tanda ingatan ketika menuntut di kampus ini.

“Ia menjadi nostalgia, tidak akan dilupakan biarpun sudah menamatkan pengajian kelak,” katanya.

Katanya, semua pokok hutan itu akan kekal terpelihara di dalam kampus dan dijamin selamat.

“Dalam 20 hingga 30 tahun akan datang, anak dan cucu dapat menikmati hasil melalui usaha menanam pokok yang dilakukan hari ini,” katanya.

Paling penting, bagaimana universiti melahirkan pelajar cemerlang di bilik kuliah, tetapi juga di luar kuliah.

“Tugas kami tidak sekadar dalam kelas. Kami juga memberi kefahaman mengenai peranan dalam melestarikan alam dan menambah baik ekosistem sedia ada.

“Ini semua sebahagian daripada proses pembelajaran di dalam kampus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 12:38 PM