BAGNAIA kembali berada di tangga teratas kedudukan keseluruhan pelumba. FOTO Reuters
BAGNAIA kembali berada di tangga teratas kedudukan keseluruhan pelumba. FOTO Reuters
AFP

Lusail: Francesco Bagnaia boleh menghela nafas lega selepas menduduki tempat kedua di Grand Prix (GP) Qatar tatkala satu-satunya pesaing terdekat, Jorge Martin hanya berpuas hati di kedudukan ke-10 akibat mengalami masalah tayar.

Fabio Di Giannantonio, yang tidak mempunyai pasukan musim depan meraih kemenangan pertamanya dan, dia berkata, ia bagai membalas dendam kepada semua orang yang meragui kemampuannya.

Tempat ketiga menjadi milik Luca Marini dari pasukan VR46 Ducati.

Juara bertahan, Bagnaia mendahului Martin dengan 21 mata dengan baki satu lagi perlumbaan hujung minggu ini di Valencia di mana jarak maksimum untuk pelumba yang memenangi kedua-dua saingan pecut dan perlumbaan utama ialah 37 mata.

Martin memintas Bagnaia dengan kelebihan tujuh mata selepas memenangi perlumbaan pecut sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, dalam perlumbaan utama, pemandu Sepanyol yang mewakili Ducati Pramac itu tergelincir ke tempat kesembilan selepas permulaan yang buruk menduduki tempat ke-10.

"Saya mengalami masalah tayar belakang yang sangat teruk.

"Anda boleh melihat pada permulaan. Saya rasa sayang bahawa kejuaraan ditentukan oleh tayar yang buruk," kata Martin.

"Kami berada di MotoGP dan ini tidak boleh diterima. Saya mempunyai potensi untuk memenangi perlumbaan. Saya rasa mereka mengalahkan saya di luar trek bukan di trek."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 11:42 AM