SYARIFUDDIN pernah meraih kemenangan di Catalunya di CEV Moto3 pada tahun 2021. FOTO Ihsan ZK Racing
SYARIFUDDIN pernah meraih kemenangan di Catalunya di CEV Moto3 pada tahun 2021. FOTO Ihsan ZK Racing
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman yang mengharapkan penampilannya di Grand Prix (GP) Catalunya, bakal membawa tuah buat dirinya apabila turun beraksi pada hujung minggu ini.

Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok berkata, trek sepanjang 4.66 kilometer (km) itu adalah antara litar kegemarannya selain pernah meraih beberapa penamat di pentas podium sewaktu menyertai Kejuaraan JuniorGP Dunia pada 2021 dan 2022.

"Minggu ini adalah minggu perlumbaan saya di Catalunya dan saya tidak sabar kerana Catalunya adalah salah satu litar kegemaran saya. Saya pernah meraih kemenangan di sini di CEV Moto3 pada tahun 2021.

"Tahun lalu juga di sini saya menamatkan perlumbaan dua kali di tempat kedua dalam saingan sama (JuniorGP sebelum ini dikenali sebagai CEV Repsol).

"Saya harap dapat buat yang terbaik dan berusaha untuk mendapatkan kedudukan yang keputusan yang terbaik minggu ini," katanya.

Untuk rekod, Damok pada ketika ini sudah mengumpul lima mata untuk berada di kedudukan ke-24 keseluruhan dengan kali terakhir meraih mata berkenaan di GP Argentina, April lalu selain berada di kedudukan kelima dalam klasifikasi Pelumba Rookie Terbaik Tahunan.

Nasib pelumba berusia 21 tahun itu kurang baik apabila terbabit insiden yang menyaksikan dirinya retak tulang rusuk di GP Itali pada Jun lalu.

Kecederaan berkenaan memaksanya berehat panjang dan Damok hanya kembali membuat kemunculan di GP British awal bulan ini namun nasib tidak menyebelahinya apabila mengalami masalah jentera dan gagal menamatkan saingan.

Nasib juga tidak memihaknya di Litar Red Bull Ring, Austria apabila hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-28 selepas turut terjatuh sebelum bangkit untuk menemui garisan penamat, 20 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 5:41 PM