ADAM duduki tempat kelima keseluruhan. FOTO Adam Norrodin
ADAM duduki tempat kelima keseluruhan. FOTO Adam Norrodin
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Impian Adam Norrodin untuk menamatkan perlumbaan terakhir dalam kalendar Kejuaraan CEV di Litar Ricardo Tormo, Valencia di kedudukan podium tidak kesampaian.

Dia yang beraksi bersama pasukan Liqui Moly Instact Sic itu menamatkan saingan Moto2 di kedudukan keempat dalam perlumbaan dikuasai Alonso Lopez dengan catatan masa 19 minit 29.314 saat.

Tempat kedua milik Fermin Aldeguer dari pasukan Boscoscuro Team Ciatti dan ketiga rakan pasukan Adam, Lukas Tulovic.

Begitupun Adam tetap berpuas hati apabila menamatkan saingan kejuaraan di kedudukan kelima keseluruhan daripada 30 pelumba yang beraksi di pentas CEV musim ini.

Ia musim terbaik buat pelumba berusia 23 tahun itu yang berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga sebanyak tiga kali tahun ini. Adam mengumpul 97 mata dengan Aldeguer muncul juara meraih 265 mata, Lopez kedua (226) diikuti Tulovic (135).

"Alhamdulillah saya berjaya tamatkan musim ini di tempat kelima keseluruhan. Saya sudah cuba yang terbaik pada perlumbaan terakhir untuk dapatkan podium. Saya sudah 'push' 100 peratus dan hampir terjatuh ketika perlumbaan itu. Apapun ini adalah musim terbaik saya, saya bersyukur sangat dengan apa yang diraih," katanya. Sementara itu bagi seorang lagi pelumba negara, Syarifuddin Azman yang beraksi di Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia menamatkan perlumbaan terakhir di tempat keenam perlumbaan pertama dan tempat ketujuh perlumbaan kedua.

Dia yang turut dikenali dengan panggilan Damok itu menamatkan saingan keseluruhan di tempat kesembilan selepas mengumpul 64 mata. Musim ini turut meninggalkan memori indah buat Damok yang pernah memenangi Perlumbaan 1 Pusingan 3 di Litar Catalunya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 10:42 PM