Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman beraksi di GP Aragon. FOTO Ihsan Sepang Racing Team
Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman beraksi di GP Aragon. FOTO Ihsan Sepang Racing Team
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Dalam erti kata lain apa yang ditampilkan pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman semalam adalah sangat memberangsangkan apabila tidak semua dapat memberikan tunggangan seperti itu dalam penampilan sulung.

Perkara ini diakui sendiri oleh Pengarah Pasukan Sepang Racing Team, Johan Stigefelt selepas Syarifuddin menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Aragon di tempat ke-13.

Syarifuddin atau terkenal dengan gelaran Damok diberikan peluang berharga bagi menggantikan sementara tempat John McPhee (yang beraksi di Moto2 di Aragon), menamatkan perlumbaan dengan catatan 38 minit 03.355 saat sekali gus meraih tiga mata pada penampilan sulungnya itu.

"Satu perlumbaan yang menarik dari Damok. Menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 dalam penampilan sulungnya di Moto3 adalah satu pencapaian besar.

"Tidak ramai pelumba yang dapat melakukannya dan adalah sesuatu yang menarik untuk melihat dia bekerja dengan sangat baik bersama pasukan.

"Saya fikir, dia mempunyai kelajuan yang bagus dan sekiranya dia mampu kekal dengan kelompok itu, maka apapun boleh berlaku. Terima kasih Damok dan kesemua kru atas kerja yang baik dan keputusan yang baik," katanya.

Syarifuddin musim ini menyertai saingan Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia dan Jun lalu pernah menggegarkan Litar Catalunya, dengan meraih kemenangan dalam Perlumbaan 1.

"Saya gembira dengan perlumbaan hari ini (semalam). Kami berjaya mengekalkan rentak terbaik di hujung minggu. Terima kasih kepada Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali kerana memberi peluang ini." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 1:48 PM