SYARIFUDDIN (kanan) berterima kasih kepada semua, keluarga, rakan, pasukan, penaja yang bertungkus lumus untuk sediakan jentera terbaik. FOTO Ihsan ZK Racing
SYARIFUDDIN (kanan) berterima kasih kepada semua, keluarga, rakan, pasukan, penaja yang bertungkus lumus untuk sediakan jentera terbaik. FOTO Ihsan ZK Racing
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: "Piala ini untuk Malaysia," kata Syarifuddin Azman selepas menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia pada perlumbaan pertama di Litar Catalunya, Barcelona semalam.

Ia kejayaan yang cukup bermakna buat pelumba berusia 20 tahun dari Selangor itu dan menjadi pelumba pertama negara menguasai pentas CEV.

Biarpun hasratnya untuk menguasai perlumbaan kedua tidak kesampaian selepas dilanggar oleh seorang pelumba lain namun kejayaan muncul juara dalam aksi 16 pusingan pada perlumbaan pertama sudah cukup membanggakan rakyat Malaysia.

"Saya memang berusaha keras untuk mendapatkan pelarasan terbaik buat motosikal saya.

"Syukur Alhamdulillah kerja keras itu berbaloi dan membuahkan hasil yang cukup menggembirakan. Terima kasih kepada semua, keluarga, rakan, pasukan, penaja yang bertungkus lumus untuk sediakan jentera terbaik untuk saya," katanya.

Syarifuddin atau lebih dikenali dengan panggilan 'Damok' mempamerkan tunggangan mengagumkan itu memulakan perlumbaan di petak ke-10 melepasi garisan penamat dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat untuk muncul juara.

Tempat kedua milik pelumba tuan rumah David Munoz Rodriguez dari pasukan Avatel-Cardoso Racing dengan catatan masa 29:32.715 manakala Jose Antonio Rueda Ruiz juga dari Sepanyol di tempat ketiga (29.32.825s).

Sementara itu kelibat Adam Norrodin untuk mengikuti jejak Syarifuddin menamatkan perlumbaan dikedudukan podium dalam saingan Moto2 tidak kesampaian apabila terjatuh pada perlumbaan pertama dan menamatkan perlumbaan kedua di tempat keempat.

Mengakui menempuh minggu yang sukar namun Adam yang mewakili pasukan Liqui Moly Intact Sic Racing Team bertekad untuk bangkit di perlumbaan seterusnya di Litar Algarve, Portugal bulan depan.

Sebagai rekod, Adam pernah beraksi dalam perlumbaan Moto3, Kejuaraan Dunia MotoGP dari 2016 hingga 2019 dan meraih kedudukan podium keduanya dalam kategori Moto2 CEV apabila di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 3:39 PM