DAMOK menamatkan perlumbaan GP Catalunya di tempat ke-26. FOTO MT Helmets-MSI
DAMOK menamatkan perlumbaan GP Catalunya di tempat ke-26. FOTO MT Helmets-MSI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman mahu sedia melupakan kekecewaan di Grand Prix (GP) Catalunya, hujung minggu lalu dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada sesi ujian khas di lokasi sama.

Menurut pelumba MT Helmets-MSI itu, sesi ujian berkenaan dianggap penting bagi mencari pelarasan terbaik menjelang Pusingan ke-12 Kejuaraan Motosikal Dunia 2023 di GP San Marino yang dijadual berlangsung di Litar Misano hujung minggu ini.

"Bukan keputusan yang saya mahukan. Saya perlu ambil perkara ini sebagai pengalaman yang baru buat saya," katanya yang terkenal dengan nama timangan, Damok.

Damok menamatkan perlumbaan di Litar Catalunya dengan berada di tempat ke-26 dan perlumbaan berkenaan dianggap sebagai satu pengajaran untuknya lebih mempamerkan prestasi di saingan seterusnya.

"Saya perlu terus bekerja bersama dengan pasukan dengan lebih keras. Banyak lagi perkara yang saya perlu belajar. Saya harap sesi ujian ini akan dapat mencari pelarasan lebih baik untuk jentera," katanya.

Selepas 12 perlumbaan, Damok sudah mengumpul lima mata untuk berada di kedudukan ke-24 keseluruhan dengan kali terakhir meraih mata di GP Argentina, April lalu.

Nasib pelumba berusia 21 tahun itu dilihat kurang memihak kepadanya selepas itu apabila terbabit insiden yang menyaksikan dirinya retak tulang rusuk ketika bersaing di GP Itali, Jun lalu.

Kecederaan berkenaan memaksanya berehat panjang dan Damok hanya kembali membuat kemunculan pada GP Britain awal bulan ini, namun nasib tidak menyebelahinya apabila mengalami masalah jentera dan gagal menamatkan saingan.

Nasib juga tidak memihaknya di Litar Red Bull Ring, Austria apabila hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-28 selepas turut terjatuh sebelum bangkit menemui garisan penamat, 20 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 3:51 PM