DAMOK bersama jenteranya. FOTO Monlau Motorsport
DAMOK bersama jenteranya. FOTO Monlau Motorsport
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba negara, Syarifuddin Azman teruja untuk berlumba sekali lagi dalam saingan perlumbaan Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Catalunya, esok.

Dia yang diberikan peluang sekali lagi beraksi dalam kejuaraan dunia menerusi tiket 'wild card' mahu memberikan aksi terbaik seterusnya menghasilkan keputusan yang lebih positif.

Penampilan Syarifuddin yang dikenali sebagai Damok itu di GP Catalunya bukannya untuk menggantikan tempat pelumba sebaliknya dia akan berlumba menggunakan jentera dan kru pasukannya iaitu Monlau Motorsport yang beraksi di saingan Moto3 CEV.

"Saya sangat gembira apabila dimaklumkan perkara ini. Memang sangat teruja dan tidak sabar sebab saya ada rekod yang baik di Barcelona.

"Tambahan pula kali ini saya dapat berlumba menggunakan jentera dan kru saya sendiri dan itu buat saya lagi tidak sabar.

"Saya cukup bersemangat untuk memberikan cabaran kepada pelumba di Kejuaraan Dunia ini dan saya harap boleh dapat keputusan yang lebih baik dan beri saingan lebih sengit," kata Damok.

Litar Catalunya antara litar kegemaran pelumba negara itu dan dianggap sebagai litar tuah buat Damok yang sebelum ini berjaya muncul juara dalam saingan CEV tahun lalu.

Ia adalah penampilan ketiga Damok di pentas Kejuaraan Dunia selepas turut diberi peluang atas tiket 'wild card' beraksi dalam saingan Moto3 di Portugal dan GP Sepanyol bersama pasukan Rivacold Snipers Team.

Bagaimanapun, keputusan yang diraih dalam kedua-dua perlumbaan itu kurang memberangsangkan apabila dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-24 di Portimao manakala di Jerez dia melepasi garisan penamat di tempat ke-22.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 2:32 PM