HAKIM Danish akui mendapat rentak terbaik pada perlumbaan 1. FOTO Ihsan SIC Racing
HAKIM Danish akui mendapat rentak terbaik pada perlumbaan 1. FOTO Ihsan SIC Racing
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba muda negara yang semakin meningkat naik, Hakim Danish Ramli menghadiahkan khabar gembira apabila berjaya menamatkan saingan di podium ketiga perlumbaan Pusingan 1 Kejuaraan European Talent Cup (ETC) 2023 yang berlangsung di Litar Estoril, Portugal, semalam.

Bermula di petak utama menjadi lonjakan semangat buat Hakim Danish untuk memburu podium juara apabila dia dilihat berusaha keras untuk memintas pelumba Sepanyol, Brian Uriarte.

Bagaimanapun, pelumba Monlau Motul itu pada akhirnya terpaksa berpuashati menamatkan perlumbaan dengan catatan 26 minit 49.306 saat (s), 0.054s di belakang Uriarte yang mewakili pasukan Team Estrella Galacia.

Rakan sepasukan Uriarte, Rico Salmela dari Finland pula melengkapkan keputusan satu dua apabila menemui garisan penamat dengan catatan 26:49.291s.

"Pada Perlumbaan 1 saya mendapat rentak yang baik untuk saya bersaing di kelompok hadapan.

"Saya mengerah keringat pada pusingan terakhir dan cuba memintas untuk berada di depan dan memberikan yang terbaik, akhirnya saya berjaya juga menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan mendapatkan podium," katanya.

Namun nasib berbeza melanda pelumba berusia 16 tahun itu pada Perlumbaan 2 apabila terbabit dengan kemalangan pada baki dua pusingan terakhir.

Hakim Danish gagal untuk menamatkan Perlumbaan 2 apabila pelumba Itali, Guido Pini terbabas sebelum melanggarnya.

"Pada Perlumbaan 2 persaingan agak sengit sebab ramai pelumba di hadapan. Saya cuba bersaing dengan memberi tunggangan terbaik.

"Saya berjaya mendahului beberapa pusingan namun nasib tidak berapa baik sebab ada pelumba terjatuh dan melanggar saya dan saya tidak dapat menghabiskan perlumbaan.

"Namun saya bersyukur dengan podium ini dan akan berusaha lagi untuk perlumbaan seterusnya. Terima kasih semua penaja dan pasukan saya. Saya akan terus buat yang terbaik untuk semua," katanya.

Pada aksi Perlumbaan 2 Uriarte sekali lagi mendominasi perlumbaan apabila muncul juara dengan catatan 26:51.806s manakala pelumba Aspar Junior Team, Maximo Quiles di tempat kedua (26:51.812s).

Melengkapkan pentas podium kali ini adalah David Gonzalez dari pasukan Cuna de Campeones (26:51.902s).

Selepas pusingan pertama musim berakhir, Uriarte mendahului carta keseluruhan dengan 50 mata, manakala Quiles di tempat kedua, 33 mata dan Salmela di kedudukan ketiga, 30 mata.

Hakim Danish pula berada di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan 16 mata dan ketinggalan 34 mata di belakang Uriarte sebelum pusingan seterusnya dijadual berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol pada 21 Mei ini.

Untuk rekod, kejayaan Hakim Danish di pentas podium ini adalah yang kedua baginya pada musim ini selepas berjaya meraih tempat ketiga pada Perlumbaan 2 Red Bull Rookies Cup di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal, Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 12:42 PM