DANIAL Syahmi (kiri) menaiki podium kedua. FOTO FB ZK Racing
DANIAL Syahmi (kiri) menaiki podium kedua. FOTO FB ZK Racing
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kemalangan ngeri yang dialami pelumba muda Danial Syahmi Ahmad Shahril dua tahun lalu tidak menghalangnya untuk mempamerkan aksi memukau apabila berjaya meraih tempat kedua Asia Talent Cup (ATC) pada Perlumbaan 1 Pusingan 2 bagi kempen 2021 di Litar Antarabangsa Losail, hari ini.

Kali terakhir Danial Syahmi meraih penamat di podium adalah ketika penyertaannya pada tahun 2018 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan menamatkan Perlumbaan 1 Pusingan 6 di tempat kedua sebelum peristiwa ngeri menghalangnya untuk terus berlumba pada musim seterusnya.

Ketika itu, pelumba yang kini berusia 19 tahun itu mengalami kemalangan ngeri pada Perlumbaan 2 namun selepas dua tahun berehat, Danial Syahmi terus membuktikan dirinya masih relevan untuk memburu penamat di podium.

Pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Losail itu, Danial yang bermula dari petak kedua mampu memberikan saingan sengit kepada pendahulu kempen 2021, Taiyo Furusato sehingga ke hujung saingan namun pesaing dari Jepun itu jelas berada dalam kelas tersendiri.

Furusato yang kini terus mendahului carta keseluruhan dengan 75 mata menamatkan perlumbaan dengan catatan 31 minit 22.760 saat manakala Danial Syahmi ketinggalan 0.115s di belakang pesaingnya itu.

Danial Syahmi kini berada di tangga kelima keseluruhan dengan 39 mata manakala Hakim Danish Ramli yang meraih dua penamat di tempat ketiga pada Pusingan 1 minggu lalu menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Seorang lagi pelumba muda negara, Sharul Ezwan Sharil menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.

Hakim Danish, 14, ketika ini masih berada di tangga ketiga dengan 41 mata manakala rakan seperjuangan Furusato, Gun Mie melonjak ke tangga kedua dengan 47 mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Sharul Ezwan pula berada di tangga kelapan keseluruhan dengan 21 mata.

Perlumbaan 2 bagi Pusingan 2 dijadual berlangsung, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 11:26 PM