HAKIM terjatuh ketika mendahului perlumbaan.
HAKIM terjatuh ketika mendahului perlumbaan.
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Hasrat Hakim Danish Ramli untuk melebarkan kedudukan pendahulu Asia Talent Cup (ATC) tidak kesampaian apabila dia gagal menamatkan Perlumbaan 1 Pusingan 5 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Pelumba negara dalam pembikinan itu yang bermula di petak keempat, terjatuh ketika sedang memimpin perlumbaan yang berbaki lapan pusingan sebelum terus dikejarkan ke Pusat Perubatan SIC.

"Saya baru sahaja buat ujian perubatan dan dimaklumkan saya boleh berlumba untuk esok (Perlumbaan 2). Pada perlumbaan tadi, saya cuba berada di depan, lepas itu dapat melakukan jarak sedikit.

"Tapi malangnya saya hilang kawalan sedikit dengan jentera, tapi esok saya akan cuba lagi. Saya akan mencari punca masalah pada motosikal. Doakan saya buat yang terbaik untuk esok," katanya selepas tamat perlumbaan.

Perlumbaan itu dimenangi Carter Thompson dari Australia dengan catatan 30 minit 21.058 saat (s) manakala Rei Wakamatsu dari Jepun ketinggalan 0.195s untuk meraih podium kedua dan rakan senegara, Gun Mie melengkapkan podium ketiga.

Shinya Ezawa yang menamatkan perlumbaan hari ini di kedudukan keempat, memimpin kedudukan keseluruhan pelumba dengan mengumpul 132 mata manakala Hakim jatuh di tangga kedua dengan 126 mata.

Kejayaan podium ketiga hari ini menyaksikan Gun Mie menduduki tempat ketiga dengan mengumpul 106 mata.

Hakim setakat ini sudah meraih tiga kemenangan masing-masing di perlumbaan Pusingan 2 di Litar Antarabangsa Mandalika dan Perlumbaan 1 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand.

Pusingan 5 ATC 2022 di Sepang bersempena Grand Prix (GP) Malaysia adalah pusingan kedua terakhir sebelum kemuncak musim berlangsung di Thailand, pertengahan bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 6:20 PM