HAKIM tidak mengalami sebarang kecederaan. FOTO ZK Racing
HAKIM tidak mengalami sebarang kecederaan. FOTO ZK Racing
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Peluang untuk sekurang-kurangnya menyambar kedudukan podium pada Perlumbaan 2 Pusingan 3 Piala Rookies Red Bull tidak dapat direalisasikan pelumba negara, Hakim Danish Ramli selepas terbabit dalam kemalangan.

Dia yang memulakan perlumbaan dari petak ke-12 menunjukkan tahap tunggangan penuh konsisten dengan berada dalam kelompok lima terbaik di hujung saingan namun insiden di pusingan terakhir melenyapkan impiannya.

Pelumba kelahiran Terengganu itu 'disondol' dalam satu insiden membabitkan Alvaro Carpe dan Maximo Quiles pada pusingan terakhir dan ia meleburkan impian Hakim Danish untuk meraih podium buat kali kedua musim ini selepas meraih penamat ketiga di Perlumbaan 2 di Algarve, Mac lalu.

Perlumbaan dimenangi pelumba Sepanyol, Angel Piqueras yang melengkapkan saingan 16 pusingan dengan catatan 28 minit 27.050 saat (s) manakala Guido Pini dari Itali di tempat kedua (28'27.195s) dan rakan senegara Piqueras Alberto Ferrandez di kedudukan ketiga (28'28.090s).

Piqueras yang meraih kemenangan kelimanya selepas perlumbaan di Algarve dan Jerez kini mendahului carta keseluruhan pelumba dengan 145 mata manakala Carpe berada di kedudukan kedua, 69 mata.

Carpe berkongsi mata dengan Rico Salmela di tangga ketiga yang turut terbabas dalam satu insiden di pusingan terakhir perlumbaan.

Hakim Danish, 16, berada di kedudukan kelapan ketika ini dengan 46 mata sebelum saingan selepas ini dijadual berlangsung di Litar Mugello, Itali dari 10 hingga 11 Jun.

Sebaik perlumbaan tamat, Hakim Danish dibawa untuk pemeriksaan susulan dan difahamkan laporan awal mendapati pelumba berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Semalam, Hakim Danish menamatkan Perlumbaan 1 di Litar Le Mans dengan berada di tempat kesembilan (28'34.002s). Piqueras memenangi perlumbaan itu dengan catatan (28'22.282s).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 6:11 PM