AKSI Mir ketika bersama Suzuki. FOTO AP
AKSI Mir ketika bersama Suzuki. FOTO AP
AFP

Paris: Juara MotoGP 2020 Joan Mir akan menyertai Honda pada musim 2023 dan 2024 dan akan bergandingan dengan rakan senegara dari Sepanyol, Marc Marquez, umum pasukan dari Jepun itu semalam.

Pelumba berusia 24 tahun itu tidak berlumba musim depan selepas pasukannya, Suzuki menarik diri daripada MotoGP.

Mir akan menggantikan seorang lagi pelumba Sepanyol, Pol Espargaro yang menyertai KTM-Tech3/GasGas.

Mir menjuarai gelaran Moto3 pada 2017 bersama Honda tetapi menyertai MotoGP dengan Suzuki pada 2019 dan meraih gelaran pada musim 2020 yang terjejas akibat Covid-19.

Mir mengalami kecederaan kaki kanan selepas terbabit nahas dalam perlumbaan di Austria dan akan terlepas aksi seterusnya hujung minggu ini di Misano, Itali.

"Pasukan akan memanfaatkan semua pengalaman saya di MotoGP ketika bersama Suzuki dan berjuang untuk muncul juara dunia sekali lagi," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Honda.

Mir akan bergandingan dengan Marquez yang mempunyai enam gelaran dunia tetapi masih bergelut dengan prestasi selepas terbabit nahas pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 12:51 PM