MIR melayan selekoh di Litar Motorland, Aragon. FOTO AFP
MIR melayan selekoh di Litar Motorland, Aragon. FOTO AFP
AFP

Alcañiz, Sepanyol: Walaupun tidak menjuarai perlumbaan sejak 2017, pelumba Sepanyol, Joan Mir semakin menghampiri gelaran MotoGP dunia hujung minggu ini.

Pelumba berusia 23 tahun itu hanya mempunyai kelebihan tipis enam mata mengatasi pencabar dari Perancis, Fabio Quartararo menjelang Grand Prix Teruel Grand Prix, Ahad ini.

Bagaimanapun, pelumba Suzuki itu lebih konsisten dalam musim yang lebih pendek dengan tiga kali menduduki tempat kedua dan dua kali tempat ketiga dalam 10 perlumbaan.

Pada 2019, Mir menyertai 17 perlumbaan, gagal berada di podium dan tamat di kedudukan ke-12 dalam carta.

Musim sebelumnya, dia gagal menyinar dalam Moto2 dengan kejayaan terakhir dalam kempen kejuaraan dunia di Moto3 pada 2017.

Minggu lalu, Mir menduduki tempat ketiga di MotoGP Aragon dengan rakan sepasukan dari Suzuki, Alex Rins menjuarai perlumbaan.

"Ia memang benar-benar positif kerana mendapat mata penting untuk kejohanan,'' kata Mir kepada motogp.com selepas menyaksikan Rins muncul pemenang kelapan berbeza pada 2020.

Kedua-dua pelumba Suzuki itu dipisahkan oleh pesaing dari Honda, Alex Marquez.

Mir muncul pelumba pertama Suzuki mendahului kejohanan dunia sejak Kenny Roberts Jr pada 2000.

"Saya tidak akan mengubah apa-apa menjelang perlumbaan, itu yang pasti. Saya akan terus bekerja keras dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan, cuba mendapatkan sebanyak mata yang mungkin dan meraih kejayaan pada setiap GP,'' katanya merujuk kepada perlumbaan hujung minggu ini di litar sama, Motorland Aragon.

"Kemudian pada perlumbaan terakhir, kami akan lihat kejuaraan dan lihat di mana kami berada.''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 11:13 AM