Pelumba Suzuki Ecstar dari Sepanyol, Joan Mir. FOTO AFP
Pelumba Suzuki Ecstar dari Sepanyol, Joan Mir. FOTO AFP
AFP

Valencia, Sepanyol: Joan Mir mengakui dia sendiri terkejut dengan pencapaian pada MotoGP musim ini, dengan kejuaraan dunia berada dalam genggamannya menjelang Grand Prix Valencia, Ahad ini.

Mir dijangka dimahkotakan juara dunia lebih awal dengan baki satu perlumbaan jika dia mampu meneruskan kedudukan penamat dalam kelompok tiga teratas di trek sama di mana dia memenangi kejuaraan kategori perdana minggu lalu.

"Saya tidak menjangkakan ini akan berlaku," kata Mir.

"Saya berharap dapat memperbaiki beberapa kesukaran awal dan kembali memperoleh kedudukan podium. Tapi semua kejayaan ini dan aksi konsisten, langsung tidak dijangka."

Penantian sekian lama Mir memenangi saingan MotoGP di Grand Prix Eropah pada Ahad lalu memberi ruang buat pelumba Suzuki dari Sepanyol itu mendahului dengan 37 mata dalam carta kedudukan pelumba, dengan hanya Valencia dan perlumbaan akhir di Portugal akan datang.

"Kami sememangnya mempunyai kelebihan yang baik tetapi ia belum berakhir," tambah Mir.

"Masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan ramai dikalangan pelumba menunjukkan peningkatan serta bakal memberi cabaran dalam perlumbaan di litar sama sekali lagi."

Fabio Quartararo, yang memenangi dua kempen pembukaan ketika musim perlumbaan turut terjejas dengan pandemik Covid-19 dilihat pencabar utama kejuaraan selepas penyandang juara Marc Marquez terpaksa melupakan saingan berikutan kecederaan yang dialami.

Tetapi harapan pelumba Yamaha-SRT, Quartararo memburu kejuaraan menerima tamparan apabila terbabit dalam kemalangan pada pusingan pertama sebelum berjaya meneruskan perlumbaan untuk kedudukan ke-14, minggu lalu.

Pelumba Perancis itu berkongsi mata bersama rakan sepasukan Mir, Alex Rins dengan 125 mata, diikuti Maverick Vinales dengan perbezaan empat mata.

"Hanya satu cara mencipta peluang pada Kejuaraan Dunia iaitu dengan kemenangan," kata Quartararo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 2:23 PM