MIR menyarung kemeja-T putih tertera dengan tulisan juara dunia 2020 selepas berakhir perlumbaan GP Valencia. FOTO Agensi
MIR menyarung kemeja-T putih tertera dengan tulisan juara dunia 2020 selepas berakhir perlumbaan GP Valencia. FOTO Agensi
AFP

Valencia: Pelumba Suzuki, Joan Mir mengesahkan kejuaraan MotoGP musim ini seminggu selepas dia meraih kemenangan sulung di litar yang sama di Litar Valencia.

Pelumba berusia 23 tahun kelahiran Mallorca itu merampas kejuaraan yang ditinggalkan oleh juara enam kali, Marc Marquez (selepas mengalami kecederaan) dengan menamatkan Grand Prix (GP) Valencia di tempat ketujuh.

Franco Morbidelli muncul sebagai pelumba pertama melintasi garisan penamat dalam saingan sebentar tadi.

Mir meraikan kejayaannya dengan melakukan 'wheelie' dan menyeret tayarnya untuk menghasilkan kepulan asap di hadapan paddock yang turut dihadiri oleh keluarganya bagi meraikan kejayaan bersama-sama.

"Saya berjuang untuk mendapatkan kejuaraan ini dengan sepenuh hati saya. Saya tidak tahu sama ada ingin ketawa atau menangis namun ia penuh dengan emosi," katanya.

Ia adalah kejuaraan MotoGP pertama dimenangi pelumba Suzuki sejak 2000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 10:37 PM