BASTIANINI meraih petak utama sulung MotoGP di Austria. FOTO AP
BASTIANINI meraih petak utama sulung MotoGP di Austria. FOTO AP
Reuters

Spielberg: Enea Bastianini dari Gresini Racing merangkul petak utama MotoGP pertamanya di Grand Prix Austria pada hari ini selepas memberikan tunggangan mantap di pusingan terakhir di Red Bull Ring di Spielberg.

Lonjakan lewat Bastianini meletakkannya 0.024 saat di hadapan pelumba Ducati, Francesco Bagnaia, manakala rakan sepasukan Bagnaia, Jack Miller meraih petak ketiga ketika Ducati menyempurnakan penguasaan di barisan hadapan.

Jorge Martin dari Pramac Ducati menduduki petak keempat dan Johann Zarco di petak keenam apabila pendahulu kejuaraan dunia, Fabio Quartararo terpaksa berpuas hati di petak kelima bersama jentera Yamaha.

"Sudah lama saya tidak mendapat petak pertama. Hari ini kami tiba dengan persiapan untuk beraksi baik di pusingan kelayakan dan pada akhirnya saya sangat gembira, juga untuk Gresini dan Ducati, kami berada di petak utama untuk esok.

"Ia akan menjadi perlumbaan yang sukar kerana Fabio benar-benar pantas di sini, tetapi saya mahu beraksi esok dan bertarung dengannya," kata Bastianini dari Itali, yang membuat penampilan sulung kelas utama di Qatar pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 10:28 PM