DAMOK  muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol.
DAMOK muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika pelumba muda negara Syarifuddin Azman memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sudah pasti ada sinar untuknya bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada masa akan datang.

Itu perkara yang mungkin akan ditunaikan prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT) Datuk Razlan Razali apabila melihat prestasi pelumba muda berkenaan semakin menunjukkan perkembangan positif sekali gus mempunyai ruang dan peluang untuk beraksi di pentas lebih tinggi.

Razlan berkata, Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok semakin matang selain bijak meletakkan diri dalam posisi terbaik pada setiap perlumbaan.

"Bagi saya, Damok sudah matang daripada segi tunggangannya. Apa yang dipamerkan pada perlumbaan di Barcelona begitu baik mengawal jentera dan bersabar sebelum menunggu peluang muncul juara.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, bila mereka mempamerkan aksi terbaik sudah pasti berpeluang menyertai ke SRT amat cerah. KPI adalah keutamaan pasukan. Semua tahu CEV adalah perlumbaan kompetitif, jadi peluang ke Moto3 bersama SRT amat cerah dan berharap dia terus berdisiplin serta konsisten hingga hujung musim ini," katanya.

Sebelum ini, Damok yang bermula di petak ke-10 melakukan kejutan muncul juara dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat selepas bijak mengambil peluang memintas pelumba lain di pusingan terakhir.

Prestasi cemerlang itu sekali gus menyaksikan dia muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 2:14 PM