Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jalur gemilang megah dikibarkan dengan lagu Negaraku berkumandang di bumi Sepanyol menerusi Syarifuddin Azman yang buat pertama kali muncul juara CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya Sepanyol.

Ia adalah kejayaan pertama pelumba negara menakluk perlumbaan di pentas CEV dan pencapaian terbaik yang pernah diraih oleh Syarifuddin dalam saingan antarabangsa pada tahun kedua penampilannya dalam saingan CEV itu.

Syarifuddin atau lebih dikenali dengan panggilan 'Damok' mempamerkan tunggangan mengagumkan itu memulakan perlumbaan di petak ke-10 melepasi garisan penamat dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat untuk muncul juara.

Tempat kedua milik pelumba tuan rumah David Munoz Rodriguez dari pasukan Avatel-Cardoso Racing dengan catatan masa 29:32.715 manakala Jose Antonio Rueda Ruiz juga dari Sepanyol di tempat ketiga (29.32.825s).

"Syukur Alhamdulillah. Terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras untuk perlumbaan minggu ini.

"Terima kasih juga kepada ketua krew, pengurus pasukan (Zulfahmi Khairuddin) dan juga Datuk Razlan (Razali) yang hadir ke sini untuk memberikan sokongan.

"Ia satu kejayaan yang menggembirakan terima kasih kepada mereka yang memberikan sokongan dan juga kepada keluarga," katanya.

Ia adalah pencapaian terbaik buat pelumba muda negara berusia 20 yang berjaya memperbaiki pencapaiannya di Litar Ricardo Tormo pada awal bulan lalu yang menyaksikan dia menamatkan dua perlumbaan masing-masing di tempat ke-12.

Selepas tamat tiga pusingan, Damok kini berkedudukan tempat keeman keseluruhan dengan 30 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 8:06 PM
SYARIFUDDIN menguasai saingan dari awal perlumbaan dan melepasi garisan penamat dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat. FOTO Ihsan ZK Racing
SYARIFUDDIN menguasai saingan dari awal perlumbaan dan melepasi garisan penamat dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat. FOTO Ihsan ZK Racing