SHAHROL Yuzy mengakui ada ramai pelumba muda negara semakin menyinar. FOTO NSTP
SHAHROL Yuzy mengakui ada ramai pelumba muda negara semakin menyinar. FOTO NSTP
Syazwan Msarmohd


Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya meletakkan sasaran lebih tinggi dalam sukan permotoran iaitu melahirkan juara dunia berbanding hanya menempatkan pelumba negara di pentas MotoGP semata-mata.

Legenda permotoran negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata, 'ubi muda' dalam sukan permotoran ketika ini boleh dikatakan ramai dan masing-masing sudah membuktikan keupayaan mereka dalam acara atau pertandingan disertai mereka.

Beliau berkata, kebanyakan bakat muda ini dilihat agak sukar untuk menembusi atau menempatkan diri dalam kelompok elit iaitu sebaris dengan juara dunia lain.

"Kita sudah melihat pelumba negara beraksi dalam sukan permotoran di peringkat tertinggi seperti MotoGP namun setakat ini tiada seorang pun bergelar juara dunia atau berada dalam kelompok terbaik.

"Ramai yang melihat perkara itu agak sukar dicapai namun jika dikatakan sebab bakat, sebenarnya ada ramai pelumba muda negara semakin menyinar.

"Jika sukan lain seperti badminton dapat melahirkan pemain nombor satu dunia, kenapa dalam sukan permotoran tidak boleh melakukan perkara sama.

"Oleh itu, perlu berani meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu melahirkan juara dunia pada masa akan datang," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, pelumba CEV Moto3 negara Syarifuddin Azman atau lebih dikenali dengan panggilan Damok mempamerkan tunggangan mengagumkan apabila memulakan perlumbaan di petak ke-10 melepasi garisan penamat dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat untuk muncul juara.

Ia kejayaan yang cukup bermakna buat pelumba berusia 20 tahun dari Selangor itu dan menjadi pelumba pertama negara menguasai pentas CEV.

Tempat kedua milik pelumba tuan rumah David Munoz Rodriguez dari pasukan Avatel-Cardoso Racing dengan catatan masa 29:32.715 manakala Jose Antonio Rueda Ruiz juga dari Sepanyol di tempat ketiga (29.32.825s).

Sementara itu, kelibat Adam Norrodin untuk mengikuti jejak Syarifuddin menamatkan perlumbaan di kedudukan podium dalam saingan Moto2 tidak kesampaian apabila terjatuh pada perlumbaan pertama dan menamatkan perlumbaan kedua di tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 9:36 PM