DAMOK tamatkan perlumbaaan di kedudukan ke-21. FOTO ZK Racing
DAMOK tamatkan perlumbaaan di kedudukan ke-21. FOTO ZK Racing
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun menamatkan perlumbaan tanpa sebarang mata namun penamat di kedudukan kedudukan 21 selepas bermula di petak 29 iaitu petak terakhir sedikit mengubat kekecewaan buat pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman di Grand Prix (GP) Sepanyol semalam.

Syarifuddin atau lebih mesra dengan panggilan Damok mengakui apa yang berlaku di Sepanyol itu memberi pengajaran berguna buat dirinya untuk tidak mengulangi kesilapan pada perlumbaan seterusnya selepas ini.

Pelumba MTHelmets MSi itu berkata, banyak yang dipelajarinya dan kini perlu terus kekal fokus untuk memburu mata.

"Saya berjaya tamatkan perlumbaan hari ini (semalam) di tempat ke-21 selepas bermula di petak yang terakhir dan mengambil satu 'Long Lap Penalty' dalam sesi perlumbaan.

"Ini bukanlah keputusan yang baik buat saya namun saya harus ambil ini sebagai pengajaran dan tidak melakukan kesilapan sama.

"Fokus sekarang untuk berkerja keras lagi untuk perlumbaan seterusnya. Terima kasih semua di atas sokongan," katanya.

Terdahulu pelumba kelahiran Selangor itu terpaksa bermula di petak terakhir selepas dikenakan penalti oleh steward perlumbaan.

Dia pada awalnya menempah petak ke-25 selepas melakar masa sepusingan 1 minit 47.501 saat (s) pada sesi kelayakan di Litar Jerez.

Bagaimanapun, kesilapan Damok menunggang jenteranya terlalu perlahan pada garis perlumbaan sehingga menghalang pelumba lain mengakibatkan dia dihukum berlumba pada grid terakhir dan dikenakan penalti sepusingan yang panjang (Long Lap penalty).

Saingan kejuaraan motosikal dunia seterusnya akan berlangsung di litar Bugatti, Perancis 14 Mei ini dengan Damok kini menghuni kedudukan ke-22 keseluruhan selepas meraih lima mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 1:41 PM