AKSI Hamilton pada sesi latihan bebas. FOTO AFP
AKSI Hamilton pada sesi latihan bebas. FOTO AFP
AFP

Sakhir: Selepas tujuh tahun mudah mendominasi saingan Formula Satu (F1), bos Mercedes, Toto Wolff mengakui beliau menjangkakan akan berdepan saingan sengit daripada Red Bull pada pusingan pembuka tirai Grand Prix Bahrain, esok.

Ketua pasukan dari Austria itu yang menyaksikan pasukannya meraih tujuh gelaran berganda pengeluar dan pemandu berharap penambahbaikan jentera 2021 akan memberikan keputusan terbaik untuk mereka.

Namun pemandu Red Bull, Max Verstappen tampak mendominasi sesi latihan bebas menjelang perlumbaan sebenar esok.

Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton hanya meraih masa ketiga terpantas di Litar Antarabangsa Bahrain, ditewaskan oleh Verstappen dan Lando Norris yang memandu jentera McLaren.

"Situasi ketika ini tidak memihak kepada kami," kata Wolff selepas berakhir sesi latihan bebas kedua.

"Persaingan pasti sengit. Kami agak pantas di sini berbanding ketika sesi ujian rasmi. Tapi saya tidak tahu di mana kedudukan kami berbanding Red Bull."

Hamilton berkata, Red Bull membuktikan dominasi mereka selain bimbang dengan faktor cuaca pada hari perlumbaan esok.

Manakala rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas yang meraih masa kelima terpantas pada sesi latihan bebas mendapati jenteranya kadangkala sukar dikawal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 11:06 AM