HAMILTON mendahului kedudukan pemandu. FOTO AFP
HAMILTON mendahului kedudukan pemandu. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Aksi Formula Satu (F1) akan bersambung semula pada Grand Prix (GP) Sepanyol di Barcelona hujung minggu ini dengan Red Bull terus memberi tekanan kepada Mercedes yang mengungguli kedudukan pengeluar dan pemandu.

Selepas tiga pusingan perlumbaan, Lewis Hamilton mendahului Max Verstappen dengan kelebihan lapan mata menjelang aksi pusingan keempat.

Kemenangan minggu lalu di Portugal dan aksi pembuka tirai di Bahrain menyaksikan juara dunia tujuh kali itu kekal menjadi pilihan juara musim ini.

Hamilton sedang memburu kemenangan kelima berturut-turut di Catalonia dengan tiga daripada empat kemenangan terakhirnya terhasil selepas bermula di petak pertama.

Jika dia mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan Sabtu ini, Hamilton akan meraih petak pertama ke-100 selepas dinafikan oleh rakan sepasukannya, Valtteri Bottas minggu lalu di Portimao.

Verstappen dan Red Bull kekal menjadi pencabar utama dengan bos Mercedes, Toto Wolff mengakui teruja dengan cabaran itu.

"Ketika kami ketinggalan pada sesi ujian di Bahrain, saya tetap yakin kami mampu memperbaiki prestasi dan mencapai apa yang kami mahukan.

"Segala-galanya kini semakin menarik dan akan terus menarik. Kami akan melalui setiap cabaran secara satu persatu," kata Wolff.

Bos Red Bull, Christian Horner pula berkata, setiap perlumbaan semakin jelas menunjukkan persaingan antara Mercedes dan Red Bull.

"Red Bull dan Mercedes bersaing, begitu juga Lewis dan Max. Saingan musim ini pasti sangat sengit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 1:34 PM