DATUK Ayub Rahmat. FOTO BERNAMA
DATUK Ayub Rahmat. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menegaskan acara sukan angkat berat harus dipertandingkan di Sukan Sea di Bangkok, Thailand tahun hadapan memandangkan sukan berkenaan juga berada di pentas Olimpik.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, tiada alasan sebenarnya pihak penganjur untuk menolak atau tidak menyenaraikan sukan yang ada di temasya terbesar dunia kerana sudah pasti, Sukan Sea adalah platform terbaik untuk melahirkan atlet ke arah itu.

Oleh itu, PABM mengambil langkah pantas dengan menghantar surat rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mereka memaklumkan pendirian persatuan adalah inginkan acara itu diadakan di pentas Sukan Sea 2025.

"Daripada pendirian PABM, kita menyatakan itu kerana kita cintakan sukan ini. Kerana kita tak mahu masa depan sukan ini terancam. Kalau di Thailand sendiri sebagai kuasa besar, dia menggugurkan sukan angkat berat, maka kita bimbang untuk edisi seterusnya pun tidak akan ada sukan angkat berat.

"Sebenarnya, kita lihat bahawa semua negara di Sukan Sea ini memang menyokong. Cuma Thailand sahaja yang mencadangkan atas dasar doping dalam sukan ini.

"Saya juga telah berhubung dengan Presiden Kehormat Thailand, Intarat Yodbangtoey, dia juga menyatakan bahawa dia akan menyatakan hasrat yang sama dan insya-Allah ia akan dipertandingkan.

"Jadi, kita hendak sukan ini dipertandingkan kerana sukan angkat berat ada di Olimpik, takkanlah di peringkat Sukan Sea tak melihat mengenai perkara ini. Tapi kita sudah hantar surat pada MOM pada 18 Jun lalu seperti yang saya sebutkan. Saya rasa, kita antara persatuan terawal hantar surat berbanding dengan sukan-sukan lain.

"Beberapa hari selepas itu baru Tan Sri (Mohamad) Norza Zakaria (Presiden MOM) buat kenyataan berkenaan hal ini (sukan yang tidak dipertandingkan di Sukan Sea)," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Ayub memaklumkan kemungkina besar pada edisi kali ini, PABM akan menghantar lebih ramai atlet pelapis ke Sukan Sea Bangkok bagi mendapatkan pendedahan terbaik.

"Kita akan mengenalpasti atlet dan mungkin kita menghantar lebih ramai berbanding dengan edisi lalu. Tapi sekarang ini, kita tengah fokus untuk Aniq (Kasdan) bagi persiapan Olimpik Paris.

"Pada masa sama, kita telah pun minta jurulatih kita yang lain untuk fokus pembentukan pasukan angkat berat ke Sukan Sea Bangkok. Jadi, sepatutnya tak ada masalah tentang persiapan kita untuk Sukan Sea," katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan sukan yang digugurkan daripada temasya Sukan Sea Thailand 2025 masih berpeluang untuk disenaraikan kembali ke dalam temasya itu dengan syarat setiap Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) perlu membuat rayuan terlebih dahulu.

Antara sukan yang digugurkan adalah karate, jujitsu, boling padang, angkat berat dan wushu dengan Malaysia dilihat bakal kehilangan sekurang-kurangnya empat hingga enam pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 4:11 PM