Atlet angkat berat, Muhammad Erry Hidayat. FOTO File NSTP
Atlet angkat berat, Muhammad Erry Hidayat. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan bahawa bakal menganjurkan dua kejohanan sebagai platform buat atlet mempamerkan kemampuan mereka sebelum senarai pendek ke Sukan Sea Vietnam dikemukakan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Naib Presiden PABM, Ahmad Janius Abdullah menjelaskan kejohanan pertama akan berlangsung di Kuala Rompin Pahang pada 8 hingga 10 April ini selain Kejohanan Kebangsaan yang dijadualkan akan diadakan pada Jun nanti.

Katanya, dua kejohanan ini akan menjadi medan pemilihan atlet seperti yang disarankan oleh MOM sebelum ini.

"Senarai panjang atlet ke Sukan Sea sudah dihantar kepada MOM dan senarai pendek akan dihantar selepas kejohanan di Rompin.

"Bagaimanapun kami turut merancang menganjurkan kejohanan kebangsaan untuk memberi peluang kepada rakan-rakan dari negeri yang tidak ada dalam skuad kebangsaan peluang merebut tempat ke temasya berkenaan," katanya.

Pada aksi di Sukan Sea yang lalu skuad angkat berat negara sekadar membawa pulang dua gangsa menerusi Aznil Bidin dalam kategori 61kg dan Muhammad Erry Hidayat, 73kg.

Terdahulu MOM memberi tempoh kepada semua persatuan sukan sehingga Jun ini untuk menganjurkan pertandingan bagi memilih atau menyenaraikan senarai atlet terbaik mereka ke temasya Sukan Sea Vietnam.

Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria berkata, kejohanan itu perlu dilakukan agar pemilihan berlaku secara adil, telus dan tiada sikap pilih kasih ketika badan induk itu sedar kekangan yang dihadapi berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Norza pada sidang media mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan Sea di Wisma MOM minggu lalu berkata, semua persatuan sukan perlu menentukan proses pemilihan yang tulus kerana tidak mahu ia dijadikan alasan di kemudian hari.

Untuk rekod senarai nama terakhir yang akan diputuskan perlu dihantar pada Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 10:11 PM