NORZA (kanan) tak mahu acara sukan dipertandingkan di Thailand nanti terlalu banyak berbeza dengan Kuala Lumpur. FOTO Bernama
NORZA (kanan) tak mahu acara sukan dipertandingkan di Thailand nanti terlalu banyak berbeza dengan Kuala Lumpur. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ingin memastikan acara Sukan Sea di Thailand 2025 nanti turut dipertandingkan di Kuala Lumpur 2027 agar kesinambungan atlet yang di bentuk itu akan berterusan tanpa menjejaskan persiapan yang sudah dilakukan kelak.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib akan diberikan tanggungjawab untuk menyelaras acara sukan yang akan dicadangkan kepada Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF), yang akan berlangsung Januari depan, di Bangkok.

"Datuk Nazifuddin akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengkoordinasi acara sukan yang kita nak pertahankan supaya dimasukkan ke Thailand kerana kita mahukan acara yang agak sama dipertandingkan pada 2027 ketika kita menjadi tuan rumah.

"Kita tak mahu acara sukan dipertandingkan di Thailand nanti terlalu banyak berbeza dengan Kuala Lumpur, supaya program yang kita laksanakan nanti konsisten, dengan kata lain atlet pelapis yang kita perkenalkan di Thailand boleh peak pada 2027 ketika kita menjadi tuan rumah," katanya selepas Mesyuarat Eksekutif Ahli Majlis MOM ke-206 dan Mesyuarat Agong Tahunan ke-42, di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Pada masa sama, Norza memberi bayangan kemungkinan sasaran warna pingat akan tetap digunakan pada temasya Sukan Sea Thailand 2025 memandangkan temasya terbabit bersifat pembangunan untuk atlet negara.

Pada edisi Sukan Sea Kemboja yang lalu, Malaysia diletakkan sasaran untuk menang 40 pingat emas tetapi gagal untuk capai sekali gus berada di kedudukan ketujuh secara keseluruhan serta Malaysia hanya mampu mengumpul 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa.

Pada Sukan Sea 2027 nanti, Malaysia akan bertindak selaku tuan rumah sudah pasti ingin mengulangi kejayaan pada Sukan Sea 2017 apabila diangkat sebagai juara keseluruhan selepas mengutip 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa sekali gus mengetepikan juara bertahan Thailand di kedudukan kedua.

Sebelum ini, Malaysia menggunakan pendekatan 'formula' sasaran tanpa mengira warna pingat yang diterapkan di Sukan Asia serta Para Asia Hangzhou yang dilihat membantu atlet capai sasaran yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 4:34 PM