Haziq menerima Anugerah Tokoh Kecemerlangan Sukan malam tadi. -FOTO Ahmad Hasbi
Haziq menerima Anugerah Tokoh Kecemerlangan Sukan malam tadi. -FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Keringatnya membantu mengharumkan nama negara pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024, bulan lalu dihargai dalam Majlis Anugerah Bandaraya (MAB) Majlis Bandaraya Seremban (MBS), malam tadi.

Tekong kebangsaan, Muhammad Haziq Hairul Nizam, 23, tidak menyangka akan menerima Anugerah Tokoh Kecemerlangan Sukan daripada majikannya itu meskipun masih setahun jagung dalam arena berkenaan.

Menurutnya, bakatnya dalam sukan berkenaan hanya dicungkil pada usia 18 tahun sebelum mewakili Selangor pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang membantu pasukan itu mendapat pingat perak.

"Kelmarin (Rabu) saya dimaklumkan akan menerima anugerah pada majlis ini. Saya juga terkejut kerana baru sahaja bekerja dengan MBS di

Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Pelancongan beberapa bulan lalu.

"Malah, saya juga baru bermain untuk Negeri Sembilan (NS) Antlers satu musim. Memang tidak sangka mereka akan hargai jasa saya dan ia mungkin kerana membantu pasukan sepak takraw negara pada piala dunia Mei lalu," katanya ketika ditemui.

Sebanyak 64 anugerah pelbagai kategori yang julung kalinya diadakan MBS malam tadi bagi menghargai kakitangan, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali.

Anak kelahiran Puchong, Selangor itu berkata, dia bersyukur kerana jasanya dihargai malah berterima kasih kepada MBS kerana baginya anugerah 'tokoh' itu sangat besar ertinya.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang menyokong, rakan sepasukan dan jurulatih," katanya yang masih menyarung jersi NS Antlers untuk musim kedua.

Malaysia menamatkan badi ke atas Thailand untuk muncul juara acara regu selepas mencatatkan kemenangan 2-0 di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024, Stadium Titiwangsa, ibu negara, Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 2:11 PM