KONTINJEN negara raih empat perak dan satu gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016.
KONTINJEN negara raih empat perak dan satu gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016.
Iskandar Shah Mohamed


TAHUN 2020 dianggap cabaran getir buat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi menamatkan kemarau pingat emas sulung Sukan Olimpik yang diburu negara sejak mula menyertai temasya terbesar dunia itu pada 1956. Sinar untuk merekodkan sejarah ulung sukan tanah air itu kini kembali menjelma pada edisi di Tokyo, Julai depan, sekali gus menjadi peluang terbaik kepada semua atlet kebangsaan membuktikan kemampuan mereka.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pengkhususan utama pihaknya tahun ini sememangnya terarah dalam mempersiapkan kontinjen Malaysia untuk merealisasikan sasaran penting berkenaan.

“Jika melihat sejarah Olimpik, kita sudah meraih 11 pingat sepanjang penganjuran temasya itu dan dilihat mampu meraih emas menerusi barisan atlet sedia ada yang bertaraf dunia.

“Namun, saya menganggap penyertaan lebih ramai atlet memberi peluang lebih besar dan saya menjangkakan keseluruhan antara 25 hingga 30 atlet bakal menggalas cabaran negara ke Tokyo.

“Kini, seramai 10 atlet sudah memiliki tiket kelayakan ke negara matahari terbit itu dan kita yakin jumlah berkenaan semestinya akan bertambah,” katanya kepada Arena Metro.

Menurut beliau, beberapa sukan berpotensi menjadi prospek utama untuk meraih emas terutama skuad badminton yang sentiasa mewakili kontijen negara sejak puluhan tahun lalu.

“Wakil kontinjen kita sebelum ini rata-ratanya terdiri daripada kem badminton dan kita menyasarkan sekurang-kurangnya lapan pemain akan dihantar bagi lima acara yang akan dipertandingkan nanti.

“Selain itu, kita mempunyai prospek lain seperti sukan berbasikal dan terjun yang turut mampu membutirkan pingat termasuk emas buat negara,” katanya yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Mohamad Norza berkata, Malaysia turut berpeluang menambah jumlah kontinjen menerusi tiket ‘wild card’ antaranya bagi sukan olahraga, renang dan menembak.

“Tempoh yang berbaki tujuh bulan ini bukan panjang dan kita berharap semua atlet dapat mempersiapkan diri sepenuhnya untuk menggalas tugas getir berkenaan.

“Pelantikan ikon sukan, Datuk Lee Chong Wei sebagai ketua kontinjen (CDM) ke Olimpik Tokyo turut menyuntik semangat untuk memburu emas pertama negara,” katanya.

Bagi memperkukuhkan lagi sasaran itu, kata beliau, pihaknya turut sentiasa menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman sebelum ini mengarahkan pelaksanaan kajian terperinci mengenai keperluan atlet dan laporan bulanan perlu diserahkan kepada jawatankuasa pemandu Program Podium bagi memastikan sokongan terbaik dalam misi memburu emas Olimpik.

Pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil, kontinjen negara memperoleh pencapaian terbaik dengan membawa pulang empat perak dan satu gangsa antaranya menerusi Chong Wei, Pandelela Rinong dan Azizulhasni Awang.

Olimpik Tokyo akan mempertandingkan sebanyak 33 jenis sukan bermula 22 Julai hingga 9 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 6:01 AM