ZIYAD bersyukur dapat menghadiahkan pingat perak buat rakyat Malaysia. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
ZIYAD bersyukur dapat menghadiahkan pingat perak buat rakyat Malaysia. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli berjaya melayakkan diri secara merit ke Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas meraih perak acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris, semalam.

Pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Charlety, atlet berusia 33 tahun itu melakukan lontaran 17.21 meter (m) untuk berada di tempat kedua di belakang pencabar dari Ukraine, Maksym Koval yang mengungguli acara itu.

Koval yang juga pemenang pingat emas Tokyo 2020 itu berjaya melakukan lontaran dengan catatan 17.57m sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri sewaktu di Tokyo dengan catatan 17.34m.

"Alhamdulilah dengan usaha yang saya cuba buat dan saya berjaya capai sesuatu. Syukur dengan jarak 17.21m saya dapat menghadiahkan Malaysia pingat perak.

"Syukur Alhamdulilah saya juga dapat mengesahkan tempat untuk layak ke pergi ke Sukan Paralimpik tahun depan," katanya.

Selain Ziyad, turut akan bersaing di kejohanan itu bagi memburu tiket ke Paris 2024 ialah pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36) dan juga jaguh lompat jauh negara iaitu Datuk Abdul Latif Romly.

Tiga lagi atlet menggalas cabaran negara ialah Muhamad Ashraf Muhammad Haisham (1,500m T46), Nani Shahiera Zawawi (lompat jauh T20) dan Wong Kar Gee yang akan turun dalam acara lompat jauh T12 malam ini.

Untuk rekod, lima atlet paralimpik termasuk Ziyad sudah sudah melayakkan diri ke temasya Paralimpik Paris 2024 antaranya Zy Khee Ler, Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan, Brenda Anellia Larry dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli yang mana kesemuanya adalah dari sukan renang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 3:59 PM